Murid-murid hanya perlu guna pakaian seragam 2 hari seminggu

Kementerian Pendidikan (KPM) telah menetapkan bahawa murid hanya perlu memakai seragam sekolah untuk dua hari, pakaian sukan (dua hari) dan satu hari untuk pakaian ko-kurikulum.

Garis panduan dan peraturan pemakaian murid itu dimaklumkan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 KPM, di Putrajaya.

“KPM memutuskan bagi sesi 2024/2025 bermula Mac ini, selepas sesi libat urus dilaksanakan dengan semua pihak berkaitan termasuk pemegang taruh, maka pakaian seragam di sekolah sesi 2024/2025 diteruskan seperti berikut.

“Dua hari pakaian seragam, dua hari pakaian sukan dan satu hari pakaian kokurikulum,” katanya,” lapor beberapa media tempatan.

Pada 3 Mei tahun lalu, KPM mula membenarkan murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana di semua institusi pendidikannya, memakai pakaian atau baju sukan susulan cuaca panas.

Kebenaran khas tersebut diberikan bertujuan untuk mengelakkan sebarang masalah kesihatan.

Sebelum ini, KPM turut memberi kelonggaran berkaitan pemakaian murid ke sekolah pada Oktober 2021 sebaik sahaja sesi persekolahan dibuka selepas hampir dua tahun ditutup akibat wabak Covid-19.

Kelonggaran sama juga diteruskan sepanjang tahun lalu dan rata-rata murid serta ibu bapa mahu kelonggaran berkenaan diteruskan untuk sesi persekolahan akan datang.

Â