PM Anwar: Ekonomi Madani perkasakan rakyat jadi tumpuan

Pemukiman Jemaah Menteri 2024 yang berlangsung selama dua hari berakhir malam tadi, telah memberi tumpuan khusus antaranya kepada sektor pelaburan berdampak tinggi seperti yang dicerakinkan dalam Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat yang dilancarkan tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara lain yang diberi fokus dalam sesi pemukiman itu antaranya adalah berkaitan sektor berimpak tinggi.

“Beberapa sektor pelaburan yang berdampak tinggi diberi perhatian khusus, seperti yang dicerakinkan di dalam Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat yang diluncurkan tahun lalu. Lapangan Kecerdasan Buatan atau AI, peralihan tenaga, ekonomi digital antara yang ditekuni dalam sesi permukiman kali ini.

“Tantangan dari sudut ekonomi serta bagaimana untuk memampannya turut dibincangkan secara terperinci agar aspek pelaksanaan kebijakan kerajaan tidak terganggu dan matlamat mensejahterakan rakyat dan negara dapat digapai sebaiknya.”

Anwar turut menjelaskan tujuan lain sesi pemukiman dilaksanakan sejak kelmarin hingga semalam di Cyberjaya yang membabitkan 31 anggota Jemaah Menteri dan 15 jemputan khas.

“Tujuan permukiman ini adalah antara lain bagi menyemak semula pelbagai ‘hindrance’ yang melambatkan urusan Kerajaan selain turut mendengar pandangan dan kritikan dari pelbagai pihak termasuk pihak swasta, ilmuwan, penyelidik serta pakar pakar dari dalam dan luar negara.”

‘Hindrance’, perkataan bahasa Inggeris yang dimaksudkan beliau merujuk kepada perkara-perkara yang menjadi halangan dan melambatkan urusan.