Program SARA 2024 manfaatkan 700,000 penerima

Program Sumbangan Asas Rahmah 2024 (SARA 2024) yang akan bermula pada 22 Januari dijangka memanfaatkan lebih 700,000 penerima dengan peruntukan sebanyak RM700 juta berbanding 210,000 penerima dengan perbelanjaan RM130 juta, tahun lalu.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan, jumlah itu melibatkan peningkatan peruntukan lebih lima kali ganda berbanding tahun lalu.

Katanya, di bawah program itu, penerima yang layak boleh membeli barang keperluan asas terpilih dengan menggunakan myKAD di kedai-kedai runcit berdaftar.

”Kelayakan untuk menerima bantuan SARA adalah berasaskan status kategori miskin dan miskin tegar dalam pangkalan data e-Kasih iaitu data rujukan untuk kementerian dan agensi kerajaan.

”Bantuan Sara pada tahun ini juga dinaikkan kepada RM1,200 daripada RM600 bagi isi rumah tahun lepas, sementara untuk golongan bujang, kekal RM600.

”Mengambil kira maklum balas penerima, penggunaan kredit program SARA diperluas daripada hanya makanan asas kepada tiga kategori barangan asas tambahan, iaitu barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan,” maklum kementerian itu, hari ini.

Bermula 19 Feb di Malaysia Timur

Dalam kenyataan sama, MOF memaklumkan bahawa pelaksanaan SARA akan bermula pada Isnin ini bagi penerima dari Semenanjung Malaysia, manakala penyaluran bantuan tunai untuk penerima dari negeri Sabah, Sarawak dan Labuan akan bermula 19 Februari 2024.

“Bagi penerima program SARA di Semenanjung Malaysia, bantuan SARA akan disalurkan secara bulanan iaitu RM100 sebulan untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan dan RM50 sebulan untuk golongan bujang.

“Bantuan SARA kepada penerima di Sabah, Sarawak dan Labuan pula akan disalurkan dua kali setahun iaitu RM600 untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan dan RM300 untuk golongan bujang pada 19 Februari 2024 dan 12 Ogos 2024 melalui pengkreditan ke akaun bank/secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh negara,” kata kementerian itu lagi.

Mengambil kira sambutan program SARA yang menggalakkan pada tahun lalu, MOF berkata, kerajaan juga meluaskan rangkaian rakan runcit (pasar raya/kedai) yang mengambil bahagian kepada 515 buah (setakat 17 Januari 2024) berbanding 424 buah (tahun 2023) di seluruh negara.