4026 PATI ditahan dalam 18 hari – Imigresen

Seramai 4,026 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan menerusi 870 operasi penguatkuasaan di seluruh negara, kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Ruslin Jusoh.

Data di atas adalah untuk operasi dalam tempoh 18 hari pertama tahun ini.

Seramai 9,169 orang asing telah diperiksa dan 1,497 pendatang tanpa dokumen sah telah dihantar balik manakala 42 majikan ditahan kerana menggaji PATI.

“Majikan yang didapati menggaji PATI boleh dihukum di bawah Akta Imigresen dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” kata beliau dalam satu sidang media selepas serbuan di Apartmen Baiduri, Taman Tasik Kesuma, Beranang, Semenyih malam tadi.

Menurut beliau lokasi ini merupakan salah satu dari 220 kawasan panas untuk PATI.

Seramai 752 warga asing diperiksa dan 561 ditahan. Kebanyakan mereka adalah dari Bangladesh dan Myanmar.

Mereka berumur di antara 3 bulan dan 55 tahun tinggal melepasi had waktu dan tidak mempunyai dokumen perjalanan.