AMANAH bakal menandingi Pas dalam tempoh 10 tahun

Parti AMANAH berhasrat mengukuhkan kedudukannya di kerusi-kerusi yang telah dimenangi dalam tempoh tiga tahun sebagai persediaan untuk pilihan raya umum ke-16 dan akan menandingi Pas sebagai parti pilihan utama orang Melayu dalam tempoh sedekad.

“Dalam konteks sekarang, strategi sederhana tiga tahun utk pastikan kita kuasai kerusi yang kita ada. Dalam jangka panjang, kita harap dalam 10 tahun dari sekarang, AMANAH akan jadi alternatif kepada kawasan-kawasan majoriti Melayu,” kata timbalan presiden AMANAH, Senator Datuk Dr Mujahid Yusof sewaktu temuramah eksklusif dengan Harapan Daily.

“Saya nak ingatkan ganti bukan macam Pas. Ganti lebih kepada alternatif yang lebih baik dalam konteks islam yang kita bawa itu sifatnya sangat-sangat progresif, inklusif, dinamik.

“Islam yang kita bawa itu memastikan dalam masa 10 tahun, rahmatan lil alamin (RLA) benar-benar berakar umbi di dalam masyarakat Melayu Islam dan dihargai dan dihormati oleh orang bukan Islam.

“Tiga tahun dari sekarang, perlu ada penambahan. 10 tahun seterusnya, kita ada pengaruh sangat besar dalam minda. Ia sukar tetapi sebagai pemimpin sudah tentu kita perlu ada visi.

Mujahid berkata demikian ketika ditanya tempoh yang diperlukan oleh AMANAH untuk menandingi Pas.

AMANAH sekarang mempunyai lapan ahli parlimen (MP) di tiga buah negeri iaitu Selangor, Melaka dan Johor. Lima MP dari jumlah tersebut mewakili kawasan parlimen di Selangor.

Di peringkat dewan undangan negeri pula, AMANAH mempunyai 11 ADUN di tujuh negeri seusai pilihan raya negeri (PRN) yang berlangsung di enam negeri.

Persoalan di atas dibangkitkan dengan mengambilkira prestasi AMANAH dalam PRN yang berlangsung pada 12 Ogos 2023. Ramai pemimpin AMANAH tersungkur di dalam pilihan raya umum dan PRN lalu.

Dinamika politik semasa

Mujahid mengakui fitnah yang disebarkan oleh parti pembangkang memberi kesan kepada prestasi partinya. Kekalahan dalam pilihan raya pula bergantung kepada dinamika politik semasa.

“Parti Amanah 8 tahun, Pas 60 tahun. Politik di Malaysia ambil masa lama. Mereka pun ‘having hard time’. Setakat kata kita kalah tembung dengan Pas, saya rasa tak adil banding tahun tahun Pas dalam minda rakyat berbanding Amanah.

“Cuma untuk Amanah tiga tahun jadi parti terus jadi kerajaan. 2018-2020. Menteri-menteri dianggap ada integriti.

“Bila nak bawa benda ini kepada rakyat, itu dinamik. Umno sudah berpuluh tahun tapi mereka kalah teruk juga. Itu dinamik politik sekarang. Dulu berapa kerusi saja ada dalam parlimen utk Pas. Ini bukan alasan. Ini fakta and ‘reality check’.

“Dalam tahun 2018 kita ada 11 MP, bukan kerana kita diterima kerana RLA. Ini kembali kepada strategi. Politik sekutu, cari rakan. Kita bersama PKR, DAP dan waktu itu Bersatu ditubuhkan.

“Kenapa tinggal lapan? Itu dinamika politik. Banyak undi Umno pergi ke Pas kerana apa yg berlaku dalam Umno.

“Kalau Umno, Pas kekal sebagaimananya, Parit Buntar sayalah menang. ‘Split vote’, tapi tak jadi begitu. Undi Umno ke Pas dan PN,” katanya merujuk kepada keputusan pilihan raya umum di kawasan parlimen Parit Buntar yang ditandinginya.

Dari sudut strategi, Mujahid mahu setiap cawangan, kawasan dan sayap berfungsi sekarang dan bukannya hanya aktif ketika musim pilihan raya. Setiap peringkat parti juga wajib membawa mesej mengikut saluran yang betul agar rakyat faham.