Isu bank konvensional: Hati-hati keluarkan hukum

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyarankan institusi mufti berhati-hati dalam mengeluarkan pandangan hukum terutama isu sensitif yang boleh meinimbulkan kebimbangan dalam masyarakat.

“Saya ingat isu ini boleh dijadikan satu pengajaran. Saya mengharapkan sudah tentu dalam isu persoalan hukum, mufti diberi kuasa dan ada kelayakan untuk mengeluarkan pandangan.

“Mengenai isu ini (hukum bekerja di bank konvensional), ia tak dirujuk kepada menteri dan dikeluarkan begitu sahaja. Saya harapkan sahibus samahah, walaupun pandangan mereka dihormati, tetapi dalam masa sama perlu lebih berhati-hati.

“Kedua, bila keluarkan satu-satu pandangan, biar habis, jangan tergantung begitu sahaja. Jadi saya harapkan mana mana mufti, dengan kuasa dan tanggungjawab diberikan, bila mana satu pandangan dikeluarkan, janganlah sampai menimbulkan kegusaran awam dan perlu bagi solusi mengenai kedudukan isu itu,” katanya pada Majlis Konvokesyen ke-16 Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau berkata demikian sebagai balasan kepada Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah yang menyarankan agar kakitangan Muslim di bank konvensional mencari pekerjaan lain kerana sektor tersebut melibatkan amalan riba.

“Bila kita cakap orang Islam tidak boleh bekerja di bank konvensional, alternatif (penyelesaiannya) pula bagaimana. Biarlah pandangan dikeluarkan itu mengambil kira semua keadaan. Selain itu diharapkan pandangan terbabit (mengemukakan) solusi sehingga ke penghujungnya, sehingga tidaklah kita pun tertanya-tanya apakah bentuk penyelesaian yang di sarankan,” kata Naim.

“Pandangannya itu mungkin tidaklah sampai ke tahap fatwa, ia lebih kepada pandangan atau nasihat. Tetapi golongan mufti ini apabila mereka keluarkan sesuatu pandangan, orang akan ingat perkara itu sebagai satu fatwa. Ini yang selalu terjadi,” katanya lagi.