Laluan Simpang Pulai-Gopeng ditutup berperingkat
Laluan Simpang Pulai-Gopeng di Lebuhraya Utara-Selatan akan ditutup secara berperingkat mulai Isnin ini hingga 7 Februari depan.
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) berkata, penutupan lorong itu bagi membolehkan kerja penambahbaikan turapan jalan dilaksanakan di lokasi terbabit secara berperingkat pada setiap Isnin hingga Jumaat sepanjang tempoh tersebut.
”Pengguna lebuh raya yang menggunakan laluan berkenaan, dinasihatkan merancang perjalanan susulan penutupan lorong secara berperingkat di antara Kilometer (KM) 291.4 hingga KM296.4 (arah selatan).
“PLUS mengutamakan keselamatan dan keselesaan pengguna di lebuh raya dan secara berterusan melakukan pelbagai usaha serta inisiatif untuk meningkatkan kedua-dua aspek berkenaan.
“Sepanjang tempoh penutupan itu, penggunaan bagi setiap lorong secara berkala akan diaktifkan sebaik saja kerja turapan jalan selesai,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini lapor BH.
Dalam kenyataan itu, PLUS menasihati pengguna lebuh raya agar merancang perjalanan mereka dengan menggunakan aplikasi PLUS untuk mendapatkan maklumat trafik terkini.
“Mereka juga dinasihatkan mematuhi semua papan tanda trafik dan arahan dikeluarkan kakitangan PLUS ketika melalui kawasan terbabit.
“Pengguna lebuh raya boleh menghubungi PLUSLine di talian 1800-88-0000 untuk mendapatkan maklumat trafik atau jika ingin mendapatkan bantuan kecemasan,” katanya lagi.
Â