Langkah Dubai naratif kotor pembangkang, dakwa AMANAH Kedah
Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh menyifatkan naratif yang dimainkan pembangkang tentang menjatuhkan kerajaan seperti Langkah Dubai adalah sesuatu sangat kotor.
Beliau berkata, tindakan yang dilakukan pembangkang itu tidak membawa sebarang kebaikan kepada negara, malah membuatkan pemikiran rakyat menjadi celaru.
Katanya, pada hari ini, beliau ingin memberi pandangan terhadap dua naratif yang dimainkan oleh Pas dan Perikatan Nasional (PN) yang menyebabkan pemikiran rakyat berada dalam keadaan bercelaru dan keliru.
”Bukan sahaja dalam kalangan rakyat, tetapi juga dalam kalangan pegawai-pegawai kerajaan. Lebih penting lagi adalah di kalangan pelabur-pelabur yang melihat negara kita dalam keadaan politik yang tidak stabil.
”Naratif pertama yang dimainkan sejak sekian lama adalah berkaitan kerajaan yang ada ini tidak stabil dan akan tumbang. Ini yang dimainkan hari demi hari bukan sahaja oleh pengikut-pengikut mereka, tetapi pimpinan utama, ahli-ahli parlimen dan juga menteri besar.
”Naratif kedua yang dimainkan pula adalah menukar kerajaan yang ada sekarang ini, adalah sesuatu yang mengikut perlembagaan.
“Mungkin mereka mengambil contoh bagaimana kerajaan Mahiaddin yang mengambil alih kerajaan tempoh hari, telah melakukan sesuatu yang menyebabkan berlakunya hilang majoriti di Parlimen,” katanya dalam satu video dimuat naik di laman Facebooknya, hari ini.
Susulan naratif yang dimainkan pihak pembangkang itu, Ismail berpendapat kerajaan sepatutnya mengambil tindakan undang-undang kepada mereka yang cuba memporak-peranda ketenteraman dan pemikiran rakyat dalam negara ini.
”Pada pendapat saya, kedua-kedua naratif itu sangat kotor. Ia juga akan memberi kesan tidak baik terhadap pandangan orang luar yang ingin melakukan pelaburan dalam negara kita,” tegas beliau lagi.
Pada 30 Disember lalu, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) J-Kom, Datuk Ismail Yusop dilaporkan mendakwa ‘Langkah Dubai’ itu timbul ketika percutian beberapa pemimpin pembangkang dan tokoh-tokoh daripada pihak kerajaan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor kemudian mengesahkan wujud rancangan pembangkang menjatuhkan kerajaan mengikut proses dibenarkan Perlembagaan.
Bagaimanapun, Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan menerima laporan risikan berkaitan rancangan tersebut.
Terbaru beliau mencadangkan rang undang-undang Penggal Tetap Parlimen.
Sementara itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mengambil pendirian untuk tidak peduli berkenaan Langkah Dubai.