SPRM serbu kediaman ahli perniagaan Tan Sri

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu kediaman seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri pagi tadi bagi siasatan berhubung dakwaan rasuah perolehan membekal dan mengurus flit kenderaan kerajaan Malaysia.

Turut diserbu beberapa syarikat berkaitan bagi melengkapkan siasatan SPRM. Serbuan ini adalah hasil siasatan sejak Julai 2023, lapor Scoop.

Menurut laporan Utusan Malaysia, lebih 100 dokumen berkaitan akaun korporat dan peribadi dirampas, hasil serbuan di rumah ahli perniagaan yang rapat dengan mantan menteri, Tun Daim Zainuddin.

Pada 2020, Ketua Setiausaha Perbendaharaan ketika itu, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir memaklumkan, sejak 30 Oktober 1993, konsesi flit kenderaan kerajaan Malaysia telah diuruskan sebuah syarikat sendirian berhad milik Tan Sri tersebut melalui Perjanjian Konsesi antara Kerajaan Malaysia dan syarikat berkenaan.

Syarikat tersebut ialah Spanco Sdn Bhd.

Perjanjian tersebut telah tamat pada 31 Disember 2018.

Namun tegas Ahmad Badri, bagi menguruskan flit kenderaan kerajaan pada masa hadapan, kerajaan telah memutuskan supaya syarikat konsesi dipilih secara Request For Proposal (RFP) yang dilaksanakan secara terbuka.

Kontrak baru telah ditawarkan dan kali ini ia diperoleh oleh gabungan Berjaya Group dan Naza Sdn Bhd menerusi surat hasrat.

Surat hasrat itu kemudiannya dibatalkan dan kontrak tersebut telah diberikan kepada Spanco.

Ini menyebabkan pengasas Berjaya Group, Tan Sri Vincent Tan menyaman Spanco dan Kementerian Kewangan.