Umno adakan sesi jelajah demi penerangan akar umbi

Ketua Umno bahagian Lumut, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyifatkan sesi penerangan bertemu akar umbi adalah satu wadah penting demi memberikan pencerahan kepada golongan berkenaan.

Katanya, dengan kecanggihan teknologi dan penyebaran berita palsu tanpa fakta yang semakin berleluasa, kepercayaan rakyat semakin mudah diperdaya.

“Maka pendekatan seperti ini (sesi berjumpa akar umbi) dapat merungkai sesuatu isu dengan lebih jelas dan tepat serta menutup segala pembohongan yang diwar-warkan.

“Seperti yang saya tekankan, sesi seperti ini sangat penting untuk kita menyampaikan secara terus kepada ahli akar umbi tentang isu-isu terkini dan pencerahan berkaitan situasi politik semasa mahu pun isu semasa dalam kerajaan,” katanya dalam catatan di Facebooknya, hari ini.

Terdahulu Zambry yang juga Menteri Pendidikan merasmikan Sesi Jelajah Akar Umbi bertempat di Dewan Majlis Perbandaran Manjung, Lumut, Perak yang turut dihadiri Setiausaha Agung Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Bakal melonjak usia 78 tahun, Zambry mendoakan agar Umno terus kekal sebagai parti yang sentiasa memberi khidmat dan kebajikan kepada rakyat dalam apa jua keadaan.

“Terima kasih Dr Asyraf dan semua ahli Umno Lumut termasuk rakan-rakan penyokong parti yang turut hadir mendengar penerangan ini.

“Kita rapatkan saf dan teruskan perjuangan demi ummah dan negara, insya-Allah.” katanya lagi.