Anwar ucap takziah kepada keluarga Devaki Krishnan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah di atas pemergian wanita pertama dalam perkhidmatan awam Malaysia, Tan Sri Devaki Krishnan
Anwar menerusi hantaran di Facebook berkata, beliau turut berdukacita di atas pemergian itu dan menyifatkan Devaki sebagai sosok penting yang sanggup mengabadikan hayatnya demi masyarakat.
“Devaki adalah sosok penting dalam sejarah perjuangan mengangkat martabat wanita dalam kepimpinan dan politik negara.
“Jasa dan pengorbanan mendiang akan dikenang buat selamanya. Takziah kepada keluarga mendiang,” ucapnya sambil berkongsi dua foto mendiang.

Devaki Krishnan meninggal dunia pada usia 100 tahun dan berita kematiannya disahkan oleh cucunya, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R Ramanan.
Mendiang meninggal dunia di rumahnya kira-kira jam 8 malam, 20 Januari.
Devaki pertama kali menceburi diri dalam dunia politik apabila memegang jawatan dalam Majlis Perbandaran Kuala Lumpur pada tahun 1952.
Mendiang, yang juga ahli MIC paling tua itu, memenangi kerusi di Bangsar pada tahun yang sama.
Dalam satu temubual bersama FMT pada tahun 2020, mendiang memberitahu minatnya dalam bidang politik tercetus selepas dua wanita memenangi pilihan raya di Sri Lanka dan Singapura, sesuatu yang mustahil ketika itu.
Mendiang kemudian dijemput untuk menyertai Parti Kemerdekaan Malaya oleh Datuk Onn Jaafar.
Di bawah pakatan ini Devaki, yang dilahirkan di Port Dickson, kemudian bertanding di kerusi Sentul pada tahun 1959 namun kalah.
Sebagai ahli pertahanan awam, mendiang menguruskan klinik kesihatan di Stadium Merdeka ketika rusuhan pada bulan Mei 1969.
Ketika itu Devaki ditugaskan untuk menjaga kira-kira 3,500 mangsa rusuhan serta gelandangan.
BACA JUGA Tunggang isu ‘rider’ mogok, Wan Fayhsal dinasihat jangan bodohkan umat