Berhabis duit tunaikan haji, berbelanja untuk pendidikan anak

Oleh ZOLKHARNAIN ABIDIN AL-ABYADHI

Orang kita sanggup berhabis-habisan untuk menunaikan haji. Tapi tak sanggup berhabis-habisan untuk pendidikan anak-anak. Baca sampai habis.

Ada yang bertahun-tahun menabung untuk pergi ke Mekah bahkan sanggup mengikat perut. Adakah perkara sama dibuat untuk anak-anak pergi belajar atau pergi universiti?

Ya, saya tahu ibadat haji wajib, namun syaratnya mampu. Dengan maksud, pendapatan yang diperolehi diguna terlebih dahulu untuk keperluan asas utama (dharuriyyat) kehidupan. Setelah itu barulah diguna untuk ibadat haji.

Pendidikan anak-anak adalah dharuriyyat. Dengan pendidikan seluruh dharuriyyat dalam tujuan utama kehidupan beragama (maqasid syariah) akan terpelihara.

Dengan ilmu, akan terpelihara nyawa, agama, keturunan, akal dan harta. Dengan ilmu juga, alam sekitar akan terpelihara.

Mengutamakan pendidikan tidak sekadar beli beg dan baju sekolah, pen, pensil dan buku, tambang dan pengangkutan. Ia lebih daripada itu.

Membawa anak-anak ke kedai buku, membelikan mereka buku-buku bacaan tambahan, menghantar mereka ke kelas -kelas teknik belajar, menyediakan ruang membaca yang selesa di rumah serta mewujudkan suasana kecintaan kepada ilmu termasuk dalam maksud itu.

Berapa ramai ibu bapa yang menyimpan untuk ke Mekah membawa anak-anak ke kedai buku kemudian membelikan mereka buku-buku yang mereka minat?

Jika anak-anak berdepan peperiksaan dan mereka perlu pertingkatkan keupayaan dalam subjek tertentu, mereka perlu diberi kelas tambahan.

Berapa ramai ibu bapa yang ada simpanan dalam TH untuk ke Mekah sanggup berbelanja untuk memastikan anak-anak mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan?

Jika anak-anak tidak cemerlang dalam peperiksaan, ibu bapa pun membawanglah sesama mereka. “Anak saya ni tak berapa pandai, anak saya ni kurang rajin baca buku… bla bla bla…”

Padahal, hakikatnya ibu bapa tidak berhabis-habisan untuk anak-anak dalam soal itu. Siapa yang salah? Anak-anak atau ibu bapa?

Untuk anak-anak berkeperluan khas pula, mereka perlu dihantar ke sekolah khas dengan biaya yang tidak sedikit. Adakah ibu bapa yang dianugerahi anak-anak sebegitu peka dengan hal ini?

Berbelanja untuk pendidikan anak-anak tidak sekadar bermaksud menghantar mereka ke kelas tahfiz, tapi berbelanja juga untuk memupuk minat kepada sains, teknologi juga kemahiran.

Secara umum, manfaat ibadat haji yang orang kita buat hanya balik kepada pembuatnya. Namun, memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anak, manfaatnya balik kepada ummah.

Mana lebih besar pahala jika ditinjau dari sudut itu?

Sekadar berkongsi pengalaman…(maaf). Saya hanya mempunyai simpanan untuk menunaikan haji hanya tak sampai 5 tahun kebelakangan ini. Begitu juga isteri saya.

Kami memang berbelanja untuk beli buku anak-anak, beli semua keperluan belajar, biayai mereka ke program pembinaan diri, hantar mereka ke kursus belajar matematik cara mudah dan macam-macam lagi.

Pendek kata, apa sahaja yang anak-anak kami mahu untuk belajar, kami tunaikan tanpa soal sedaya-upaya kami.

Dan hasilnya setakat ini dengan kurniaan Allah, mereka dapat apa yang mereka cita-citakan dan apa yang keluarga kami harapkan.

Mereka semua terdidik dalam bidang sains tulen. Dua dalam bidang kejuruteraan dan tiga dalam bidang perubatan.

Maaf, saya bercerita hal peribadi sebegitu. Keluarga saya bukan contoh terbaik tetapi sekadar berkongsi pengalaman kehidupan.

Utamakan pendidikan anak-anak. Berkorbanlah untuk itu. Menabunglah untuk masa depan pendidikan mereka.

Itu lebih utama berbanding menabung semata-mata untuk menunaikan haji dalam keadaan pendidikan anak-anak terabai.

Â