Jin lantik jadi Raja Muda, lelaki ini buat perangai lagi ‘tawan’ surau

Sudah berulang kali seorang lelaki buat perangai ‘menawan’ surau di kawasan rekreasi Hutan Rimba Bukit Bauk, Dungun.

Surau berwarna kuning tersebut dijadikannya istana selain diletakkan batu nisan di hadapan bangunan itu.

Beberapa tingkap surau itu juga ditutup dengan kain dan turut ditemui beberapa batang lilin di dalam premis awam berkenaan.

Berusia 37 tahun, dia sebelum ini mendakwa dirinya sebagai Raja Muda yang ditabalkan kerajaan jin Bukit Bauk.

Susulan itu, dia beberapa kali ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu pada 2019 dan 2020 selepas melakukan amalan aneh dan bercanggah dengan ajaran Islam.

Lapor Utusan Malaysia, Pegawai Daerah dan Tanah Dungun, Jusman Ibrahim memaklumkan pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama Jabatan Perhutanan bagi mengelak surau itu kembali disalah guna dengan aktiviti bercanggah dengan ajaran Islam.

Menurutnya, individu berkenaan telah ditahan dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah pada 16 Januari lalu.

Dia didakwa atas kesalahan dadah dan kini ditempatkan di Pusat Pemulihan Narkotik, di Gambang, Pahang.