Selepas lebih 105 hari genosid, rakyat Israel desak kerajaan Netanyahu berundur
Selepas lebih 105 hari genosid di Palestin, Tel Aviv menyaksikan ribuan rakyat Israel berhimpun membantah kerajaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.
Rakyat negara haram itu mendakwa pemimpin veteran itu salah mengendalikan keselamatan negara selain mendesak diadakan pilihan raya baharu.
Unjuk rasa anti-kerajaan yang menggegarkan negara sepanjang tahun lalu terhenti selepas serangan Hamas di selatan Israel pada 7 Oktober.
Pergolakan politik negara diketepikan buat sementara ketika rakyat Israel berada di belakang tentera dan keluarga mereka yang terbunuh atau dijadikan tebusan.
Namun, dengan perang yang dahsyat di Gaza yang menjengah bulan keempat, tinjauan pendapat menunjukkan Netanyahu ketinggalan dalam meraih sokongan.
Bahkan, gesaan untuk perubahan kepemimpinan semakin kuat, walaupun tidak ada tanda kedudukan pemimpin berkenaan berada di bawah sebarang ancaman yang akan berlaku.
Keadaan itu dicerminkan dengan kehadiran penunjuk perasaan di dataran tengah Tel Aviv yang mana banyak protes tahun lalu diteruskan.
Meskipun kehadiran penunjuk perasaan lebih kecil daripada yang dilihat tahun lalu, ia masih membabitkan ribuan orang.
Rata-rata mereka memukul gendang, menjerit kecewa dan mengibarkan bendera Israel, lapor Reuters.
“Kerajaan yang meninggalkan kami pada 7 Oktober terus meninggalkan kami setiap hari sejak itu – mereka yang dipindahkan dari utara dan selatan (sempadan), keluarga mangsa, pasukan simpanan, tebusan,” kata Noam Alon, yang abangnya, seorang tentera, terbunuh.
“Kuasa berada di tangan kita untuk menukar dan membaiki,” katanya dari pentas. “Kerajaan ini perlu berundur. Sekarang!”
Kata-kata itu disambut penunjuk perasaan lain yang menjawabnya: Sekarang! Sekarang!”
Walaupun perpecahan muncul dalam kalangan anggota Kabinet perangnya, Netanyahu berhasrat untuk terus berkuasa.
Pemimpin pembangkang telah menawarkan untuk membentuk kerajaan perpaduan yang tidak dipimpin oleh Netanyahu, tetapi tidak ada langkah yang mendapat perhatian.