UAI beritahu hukum suami ‘like’ gambar perempuan

Penceramah UAI atau Ustaz Azhar Idrus berkata, berdosa bagi seorang suami menekan tanda suka atau ‘like’ pada gambar wanita lain jika atas sebab kecantikannya.

Katanya, berdosa juga hukumnya jika meninggalkan tanda suka pada gambar wanita yang tidak menutup aurat.

Walaupun begitu, jelasnya, tidak berdosa jika seseorang suami niat ‘like’ sesuatu hantaran atas sebab suka dengan isi kandungan yang dipaparkan.

“Inilah masalah media sosial. Kalau suami ‘like’ itu sebab perempuan itu cantik, mendedahkan aurat, maka berdosa.

“Tapi kalau dia ‘like’ itu bukan kerana aurat itu, tetapi kerana apa yang perempuan itu ucapkan itu betul, contohnya wanita itu berikan resipi makanan dan dia tidak tutup aurat.

“Jadi, bila dia ‘like’ dia bukan ‘like’ perempuan itu tak tutup aurat, dia ‘like’ resipi. Maka tidak berdosa,” katanya dalam satu sesi ceramahnya baru-baru ini,

Namun, dia menasihati para suami agar meninggalkan benda yang meragukan dan sebaik-baiknya tidak perlu ‘like’ gambar wanita lain demi mengelakkan fitnah.

Jelasnya, isteri akan tersinggung dengan tindakan suaminya menyukai perempuan lain.

“Kemudian pula bini dia cemburu tengok. ‘Aku disuruh tutup aurat, perempuan lain dia pakai ketat dia pergi ‘like’.

“Apabila begitu terjadilah keraguan benda yang meragukan.

“Maka, sebaiknya tak usah ‘like’ kerana dia menyebabkan isteri kita rasa ragu.

“Nabi kata kalau meragukan, tinggalkan perkara itu,” tambahnya lagi.