‘Buat apa jadi PM kalau tak kaya’ – Ini reaksi Anwar
Ada pihak beranggapan dalam menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, ukurannya adalah kekayaan sebagai individu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tanggapan ‘haprak’ itu perlu diperangi.
“Dan ini (anggapan) dianggap biasa, buat apa jadi Perdana Menteri kalau tidak jadi kaya. Bodohlah jadi Menteri Kewangan yang tak kumpul berbilion-bilion.
“Pandangan hambar, haprak ini mesti diperangi dan kita yang bertanggungjawab ini bukan sahaja orang politik tetapi seluruh sistem.
“Saya berharap kalau tidak ada sokongan dalam politik atau lain-lain, sekurang-kurangnya isu tata kelola dan tuntutan ke arah perubahan saya pohon dokongan penuh daripada rakyat terutamanya,” katanya.
Anwar berkata demikian dalam ucapan pada majlis merasmikan Wacana Pemikir Global 2024 bertemakan ‘The Next 100 years: Vision 2100 for Malaysia’ di Universiti Malaya (UM) hari ini.
Dalam masa sama, Anwar mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menghentikan karenah birokrasi lama yang menyaksikan kementerian membuat banyak keputusan bagi pihak universiti.
Beliau berkata, kementerian itu perlu memberikan ruang selain membenarkan pihak universiti membuat beberapa keputusan tertentu berhubung keutamaan masing-masing, dan meneruskan program-program mereka.
“Saya bangkitkan perkara ini terutama disebabkan keperluan yang mendesak, dan menyedari hakikat bahawa beberapa perkara yang dilaporkan kepada saya berhubung Pisa (Program Penilaian Pelajar Antarabangsa) saya dapati amat meresahkan.
“Sekiranya gerak kerja biasa masih digunakan, anda akan ketinggalan,” tambahnya lagi.