Isteri Daim Zainuddin didakwa esok
Isteri kepada bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin mengesahkan dia akan didakwa di mahkamah esok.
Toh Puan Na’imah Abdul Khalid berkata, sepasukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara tiba-tiba hari ini hadir di hospital lokasi suaminya dirawat untuk merakam keterangannya.
“Ini berlaku walaupun saya memberi jaminan kepada mereka bahawa saya akan memberi kenyataan sebaik sahaja prosedur perubatan suami saya selesai pada Selasa (esok).
“Kemudian saya diberitahu akan didakwa pada Selasa jam 9 pagi mengikut Seksyen 36(2) SPRM 2009 kerana kononnya gagal mematuhi notis untuk mendedahkan maklumat mengenai aset,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Dia bagaimanapun meminta pendakwaan dilakukan sehari kemudian iaitu lusa selepas prosedur perubatan suaminya selesai tetapi ditolak pihak SPRM.
“Mereka berkeras akan mendakwa saya esok. Saya akan ke mahkamah esok dan lawan pertuduhan ini,” katanya.
Sementara itu, semakan Sistem e-Filing (EFS) mahkamah mendapati nama Na’imah Abdul Kadir tersenarai di Mahkamah Sesyen Jenayah 9 di hadapan Hakim Azura Alwi jam 9 pagi.