Kalau nak buat langkah, buat ‘Langkah Sejahterakan Negara’ – Mujahid

Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan, faktor kestabilan politik sangat kritikal ketika ini demi menyokong peralihan negara ke arah pasca-normal.

Beliau berkata, tidak seharusnya mana-mana pihak berpolitik secara melampau kerana ini merupakan masa untuk semua pemain politik bertanggungjawab menjayakan peralihan tersebut.

Kata Mujahid, ia boleh dilakukan dengan memperkukuhkan dasar-dasar yang diusahakan oleh Perdana Menteri dan bukannya meruntuhkan untuk politik murahan.

“Dasar kerajaan Madani hari ini adalah memenuhi ciri pasca-normal yang tiada rujukan kejayaan sebelumnya.

“Oleh itu semua pihak harus membantu menjayakannya bukan mencari ruang politik untuk ‘membalun’ semberono.

“Tamatlah sudah era parti kerajaan lawan parti pembangkang atau sebaliknya. Era kritikal ini menuntut politik konsensus dalam mencapai kepentingan nasional yang cirinya ialah pemulihan, penyembuhan dan menambah-baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Mujahid berkata, ‘Langkah Dubai’ dan segala jenis langkah hanyalah budaya lapuk untuk selamatkan pihak yang terdesak.

Apa yang menyedihkan kata beliau, ada pihak yang masih bergayut pada dahan yang rapuh untuk tujuan politik sempit mereka.

“Seluruh sistem diheret bersama dalam peluang terakhir generasi dinosor politik untuk mencuba. Yang sedihnya ada pihak yang masih bergayut pada dahan yang rapuh ini untuk tujuan politik sempit mereka.

“Saya menyeru pada semua pihak, kalau perlu melangkah maka lakukan ‘Langkah Mensejahterakan Negara’ kerana kita berpeluang untuk melakukan yang terbaik untuk semua pihak dan bukan menjadi ‘keldai’ untuk tujuan jahat pihak tertentu,” katanya lagi.

BACA JUGA Pertama kali Selangor tuai 118 tan jagung bijirin, terkejut tahu kos berjaya dijimatkan

Â