Penduduk Kelantan di empat jajahan ini tak bayar bil air RM27 juta
Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mendedahkan sebanyak RM27 juta bil air gagal dibayar oleh penduduk di empat jajahan negeri itu setakat 31 Disember lalu.
Empat jajahan tersebut membabitkan penduduk di Pasir Mas, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh, kata Pemangku Pengurus Besar AKSB, Izani Ismail
Menurutnya, jumlah itu melibatkan kegagalan pengguna membayar bil air selama tiga bulan atau lebih sehingga menyebabkan berlakunya tunggakan.
“Bagaimanapun ada sesetengah jajahan seperti di Jeli, pengguna membuat pembayaran dengan baik dan kebanyakannya tunggakan tidak sampai dua bulan.
“Tunggakan dalam tempoh tiga bulan itu adalah dikira prosedur tinggi, jadi kita sasar supaya ia dapat turun sehingga dua bulan,” katanya kepada media malam tadi, memetik Utusan Malaysia.
Izani memberitahu, pihaknya sedang melaksanakan program bagi menggalakkan pengguna membuat pembayaran tunggakan bil air secepat mungkin.
Katanya, pembayaran tunggakan ini sebenarnya akan membantu aliran tunai ASKB dan mampu mempercepatkan lagi tindakan terutama dalam kerja-kerja pembaikian paip.
“Kalau kita dapat bayaran cepat, duit itu boleh digunakan untuk tingkatkan lagi mutu perkhidmatan kepada pelanggan.
“Untuk makluman, sehingga kini AKSB mempunyai 274,000 akaun yang membabitkan pengguna domestik dan bukan domestik,” ujarnya
BACA JUGA Sanusi kena tukar dengan Hayati?