Polis rakam keterangan Mahathir esok
Polis akan merakam keterangan Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) jam 11 pagi esok.
Lapor Malaysia Gazette memetik sumber, sesi itu dibuat berhubung kenyataan Mahathir bahawa masyarakat India masih tidak setia sepenuhnya kepada negara.
“Bukit Aman akan datang Yayasan (Kepimpinan Perdana) bagi merakam keterangan Tun esok jam 11 pagi,” katanya.
Minggu lalu, bekas Perdana Menteri dua kali itu mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana mereka masih ‘terikat’ dengan negara asal mereka.
Katanya, seseorang itu harus dikenali sebagai orang Melayu untuk berhak menganggap Malaysia sebagai negara sendiri.
Mahathir berkata demikian dalam temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit India, Thanthi TV.
“Orang India Malaysia tidak bercakap bahasa Melayu sebagai bahasa asal mereka, mereka bercakap Tamil,” katanya.
Terdahulu, hos bertanyakan jika seseorang itu tidak boleh kekal setia kepada negara didiami sambil komited kepada asal usul mereka.
Tun M kemudian berkata bahawa “masalah” dia ialah apabila “pendatang” (kaum India dan Cina) menganggap Malaysia sebagai negara sendiri tetapi pada masa sama terus mengamalkan budaya dan adat mereka sendiri.