Prestasi dalam PISA: Anwar seru elak sindrom penafian
Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeu semua pihak supaya mengadaptasi perubahan yang berlaku seiring peredaran masa.
Dalam masa sama, Perdana Menteri menekankan pentingnya untuk mengelak sindrom penafian supaya negara mampu bergerak ke hadapan.
Bersandarkan prestasi Malaysia dalam Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022, beliau berkata, ia adalah contoh kegagalan untuk mengakui kekurangan dalam sistem terdahulu.
Kemeruduman Malaysia dalam PISA 2022 itu juga sekali gus memberi impak kepada kedudukan negara bagi penarafan antarabangsa.
Anwar turut mengakui terkesan dengan prestasi Malaysia dalam PISA 2022, selain menegaskan alasan standard dikemukakan berhubung perkara itu adalah berpunca akibat penularan pandemik Covid-19 yang turut menjejaskan semua negara lain.
“Kita berada di sini ketika ini, bukan untuk menafikan pencapaian terdahulu seperti pertumbuhan ekonomi, perpaduan dan peningkatan pada tahap tertentu dalam sistem pendidikan.
“Namun, jika dilihat fakta asas, beberapa daripadanya (berada di tahap) membimbangkan. Justeru, kita perlu rujuk laporan PISA terkini yang akan memberi gambaran (sebenar) kepada tahap kejayaan negara.
“Malaysia berada di tangga ke-51 daripada 81 negara dalam kajian PISA, khususnya dalam subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris. Malah, kita terburuk dalam kalangan tujuh negara ASEAN,” katanya.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata demikian berucap merasmikan Wacana Pemikir Global 2024 bertemakan ‘The Next 100 Years: Vision 2100 for Malaysia’ di Universiti Malaya (UM) hari ini.
Sehubungan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menggesa semua pihak menilai semula punca kegagalan Malaysia bergerak ke hadapan supaya permasalahan berkenaan dapat diatasi secara menyeluruh dan segera.
“Kita perlu tanya diri sendiri bagaimana kita boleh gagal. Ini adalah soalan yang perlu kita tanya sebelum mahu membincangkan mengenai visi negara bagi 100 tahun akan datang.
“Kita perlu cakna mengenai keadaan negara dan tidak boleh kekal dalam sindrom penafian,” tambahnya lagi.
Â