Selepas kosong 10 tahun, terkejut rumah diceroboh warga asing

Sebuah unit kediaman pangsapuri di Puchong, Selangor, yang dibiarkan kosong sejak 10 tahun lalu tanpa disedari pemiliknya telah lama diceroboh dan didiami warga asing.

Perkara mengejutkan itu didedahkan seorang perunding hartanah menerusi akaun Facebook Srilabu Kedah.

Katanya, pencerobohan itu diketahui selepas kenalannya yang tinggal di Pantai Timur meminta dia menjualkan rumah tersebut.

Menurutnya, dia yang mahu menguruskan penjualan pangsapuri itu terkejut selepas mendapati rumah itu didiami warga asing ketika datang meninjau kediaman tersebut.

“Kawan kepada sahabat saya yang tinggal di kampungnya di Pantai Timur meminta saya menjualkan unit pangsapurinya di Puchong yang dibiarkan kosong sejak 10 tahun lalu.

“Selepas menerima kunci unit itu, saya yang tinggal di Seremban 2 datang meninjau rumah berkenaan di Puchong untuk mengetahui keadaannya sebelum urusan penjualan dilakukan.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila mendapati rumah itu didiami warga asing dan hal itu kemudian dimaklumkan kepada pemilik rumah yang juga terkejut dengan maklumat itu,” katanya.

Lelaki terbabit berkata, warga asing yang mendiami rumah itu tidak boleh bertutur bahasa Melayu atau bahasa Inggeris mengakibatkan dia tidak dapat berkomunikasi dengan mereka.

Tindakan warga asing menceroboh dan tinggal di rumah rakannya itu, jelasnya, menunjukkan golongan terbabit semakin berani melakukan perkara yang bercanggah dengan undang-undang.

“Mereka ceroboh masuk rumah orang macam itu saja, kita warga sendiri (tempatan) pun tak berani buat seperti itu.

“Bekalan air ke rumah itu diambil secara sambungan dari rumah sebelah, tetapi saya tak mengetahui bagaimana mereka mendapatkan bekalan elektrik,” katanya.

Bekalan air ke rumah itu diambil secara sambungan dari rumah sebelah.

Tambahnya, dia kemudian bercakap dengan seorang lelaki dipercayai warga Bangladesh yang juga penyelia warga asing itu.

Rupanya mereka sudah lama tinggal di rumah berkenaan secara percuma tanpa gangguan sesiapa.

Paling mengejutkan, ujarnya, apabila warga asing terbabit memintanya menunjukkan bukti rumah itu adalah milik rakannya.

“Mereka minta bukti benarkah rumah ini milik rakan saya. Apa nak jadi dengan Malaysia sekarang?

“Saya sudah minta pemilik rumah membuat laporan polis dan saya sendiri juga akan melaporkan kes ini kepada pihak imigresen.

“Saya minta anda semua kongsikan cerita ini, kita nak semua orang peka terutama mereka yang ada rumah kosong kerana bimbang ia diceroboh dan didiami warga asing,” tambahnya lagi.