Agong, PM mesyuarat pra-Kabinet terakhir
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mesyuarat Pra-Kabinet terakhir di Istana Negara, hari ini.
Istana Negara memaklumkan, sesi mesyuarat pra-Kabinet tersebut cukup istimewa buat kedua-dua pemimpin, khususnya kepada Seri Paduka.
Jelasnya, mesyuarat tersebut adalah yang kali terakhir sebelum Seri Paduka menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari ini.
“Sejak menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, Seri Paduka telah berkenan berangkat menghadiri mesyuarat Pra-Kabinet sebanyak 160 kali, termasuk sesi hari ini, dengan empat Perdana Menteri Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasmi Istana Negara.
Mesyuarat pra-Kabinet terakhir tersebut turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
“Mesyuarat pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Seri Paduka untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan,” katanya.