BNM perlu kawal trend projek sewaan Airbnb
Setiausaha Agung AMANAH Faiz Fadzil mahu Bank Negara Malaysia mengawal trend projek apartmen dan studio yang disewakan menerusi Airbnb tanpa kawalan.
“Bank Negara Malaysia perlu mengkaji keberkesanan trend pihak pemaju memberikan rebat dan cashback kepada pembeli, khususnya pelabur. Sebaliknya, rebat dan cashback hanya harus diberikan kepada pembeli warganegara Malaysia kali pertama.
“Pada masa yang sama, pihak berkuasa perlu membuat ketetapan tegas bagi mengawal trend menjadikan unit-unit apartmen dan studio di Kuala Lumpur sebagai unit Airbnb atau kemudahan sewa jangka pendek (STRA),” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata bahawa penjualan unit tanpa deposit 10% dan pinjaman 90% menyumbang kepada peningkatan harga rumah yang akan menyebabkan generasi akan datang tinggal jauh dari bandar dan terpaksa berulang alik berpuluh kilometer sehari hanya kerana harga rumah di luar kemampuan.
“Laporan daripada Universiti Putra Malaysia baru-baru ini menyebut golongan muda tidak gemar membeli rumah kerana lokasi rumah yang mampu dibeli berada jauh dari tempat kerja,” katanya lagi.
Faiz turut berkata bahawa trend penjualan apartmen dan unit studio tidak baik untuk pertumbuhan ekonomi.
“Pada pandangan saya, trend ini juga kurang merangsang pertumbuhan ekonomi negara di mana pengusaha hotel akan terkesan akibat persaingan yang tidak adil.
“Malah, trend ini jika tidak dikawal boleh memudaratkan generasi muda dan akan datang. Sudahlah mereka bergaji rendah, harga rumah pula di luar kemampuan.”