Deposit 10 peratus untuk usahawan beli lori, van

Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional komited membantu usahawan di negara ini dengan menyediakan deposit sebanyak 10 peratus untuk golongan berkenaan membeli lori atau van.

Pengerusi TEKUN Nasional, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid menegaskan, pihaknya tidak akan sesekali mengenepikan golongan usahawan yang berminat memulakan perniagaan.

“Sekarang ini (2024) kita sudah merencanakan bukan sahaja kepada usahawan bergerak, tetapi kita juga memberi ruang kepada peniaga-peniaga yang mahu membeli lori atau van.

Abdullah Sani

“Kami di TEKUN menyediakan deposit sebanyak 10 peratus untuk mereka membeli kenderaan berniaga seperti lori, van atau sebagainya,” katanya dalam satu sidang media di ibu negara, hari ini.

Mengulas lanjut, bekas ahli Parlimen Kapar itu berkata, pihaknya juga mahu memastikan bahawa tiada siapa yang terpinggir, apatah lagi yang memohon bantuan.

“Kita tidak akan meminggirkan waima (seorang) pun yang berminat dalam keusahawanan atau pekerja yang memerlukan bantuan.

“Insya-Allah mereka tidak akan diketepikan,” ujar beliau lagi.