Dr Dzulkefly buat lawatan mengejut ke Hospital Selayang

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad meluangkan masa mengadakan lawatan mengejut ke Hospital Selayang pagi semalam.

Menerusi hantaran di Facebook, Dzulkefly sempat bertemu dengan doktor, jururawat serta petugas kesihatan untuk mendapat gambaran sebenar keadaan di hospital terbabit.

Pelbagai masalah telah diutarakan termasuk hal-hal berkait sistem digital seperti Hospital lnformation System-KKM (HIS-KKM), ‘waktu-menunggu’, masalah infra seperti lif yang kerap rosak, kesesakan di bahagaian ED dabm. ED dan sebagainya.

Menurut Dzulkefly, tuntutan untuk menaik taraf fasiliti di hospital yang telah beroperasi sejak tahun 1999 itu adalah amat menasabah dan wajar diberikan keutaman oleh pihak pengurusan tertinggi KKM demi memastikan penghantaran servis kesihatan yang baik kepada rakyat.

“Menteri menghargai ketabahan dan kreativiti kakitangan dalam mengekalkan perkhidmatan pesakit yang baik dan selamat, meskipun berdepan pelbagai kekangan dan cabaran seperti peranti-peranti yang sudah wajar ditukar kerana di tahap BER-Beyond Economic Repair,” katanya.

Bersama Pengarah Hospital Selayang, Dr Afidah Ali, beliau juga telah mendekati serta meninjau pelbagai operasi harian beberapa jabatan penting termasuk Jabatan Teknologi Maklumat, Jabatan Rekod Perubatan, Jabatan Patalogi, Perkhidmatan Klinik Pakar dan Jabatan Kecemasan dan Trauma.

Turut hadir bersama dalam lawatan itu ialah Dr. Siti Zufina bt Abd Samah, Timbalan Pengarah Perubatan II, Dr. Nurul Amiera Asli, Timbalan Pengarah Perubatan III, dan Dr. Mohd Fadzli bin Ariffin, Timbalan Pengarah Perubatan IV.

BACA JUGA Buat apa takut, isytihar sahajalah kalau benar