Muhasabahlah Mahathir di usia senja ini, anda pun dah hilang deposit
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dinasihatkan untuk bermuhasabah diri di usia senja begini dan tidak mengeluarkan kenyataan yang sengaja boleh menakutkan rakyat.
Jurucakap kepada Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata demikian sebagai menjawab gesaan Dr Mahathir supaya Anwar memanggil Pilihan Raya Umum (PRU) serta kritikan terhadap siasatan SPRM yang dikenakan ke atas anaknya yang juga ahli perniagaan, Mirzan Mahathir.
“Tun Mahathir hilang deposit di Langkawi (pada PRU), Anwar menang di Tambun. Jadi, saya sarankan sebagai negarawan harus muhasabah di hari senja ini.
“Kita harus meninggalkan satu legasi yang murni daripada cuba menakutkan dan mengeluarkan cerita seperti ini. Saya harap beliau lebih bermuhasabah,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pakej P-Hailing RAHMAH hari ini.
Pada masa sama, Fahmi menafikan dakwaan pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim berdendam dengan seterunya, susulan beberapa siasatan dan tindakan undang-undang yang dikenakan terhadap pemimpin pembangkang.
Fahmi menjelaskan, itu hanyalah persepsi Dr Mahathir sahaja dan ianya timbul dari perasaannya sendiri.
“Saya rasa itu persepsi beliau. Saya tidak lihat ini sebagai satu isu politik dendam atau bersifat dendam. Itu mungkin timbul dari perasaan beliau sendiri. Saya ingat Perdana Menteri sudah menyatakan beberapa kali ini bukan peribadi.
“Sekiranya ada sebarang perkara melibatkan harta rakyat, wang ringgit rakyat, maka dari segi itu ada hak untuk kerajaan teliti dan ia terpakai kepada semua pihak, bukan satu individu atau kelompok tertentu saja,” katanya lagi.
BACA JUGA Buat apa takut, isytihar sahajalah kalau benar
Â