Pembangkang cuba beri harapan kepada penyokong sendiri

Khabar angin kononnya Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan ditumbangkan, hanyalah satu percubaan pembangkang untuk memberikan harapan kepada penyokong mereka.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, pembangkang terpaksa menerima realiti bahawa mereka akan terus menjadi pembangkang sekurang-kurangnya untuk tempoh empat tahun lagi sekiranya propaganda untuk mengubah kerajaan tidak dilakukan.

“Apabila ada harapan sedemikian, mungkin akan terus bekerja kuat untuk cuba menumbangkan kerajaan, memburukkan keadaan dan sebagainya.

“Tetapi apabila kita sudah tahu bahawa dalam empat tahun ini memang terpaksa menjadi pembangkang, mungkin penyokong-penyokong pun tidak lagi mahu bersemangat seperti dahulu,” katanya.

Wakil rakyat DAP itu berkata demikian dalam rancangan temu bual secara atas talian ‘Takde Skrip’ bertajuk ‘Siapa Diktator?’ malam tadi.

Mengulas lanjut, Syahredzan berkata, ‘cakap-cakap’ tentang perubahan kerajaan itu bukannya dari tahun ini sahaja, malah ianya berlaku sejak tahun lepas.

“Saya ingat lagi ura-ura itu sudah dimulakan sejak Datuk Seri Anwar dilantik menjadi Perdana Menteri lagi,” ujar beliau.

Pada 30 Disember lalu, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) J-Kom, Datuk Ismail Yusop dilapor mendakwa ‘Langkah Dubai’ timbul ketika percutian beberapa pemimpin pembangkang dan tokoh-tokoh daripada pihak kerajaan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor kemudian mengesahkan wujud rancangan pembangkang menjatuhkan kerajaan mengikut proses dibenarkan Perlembagaan.

Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) mendakwa sudah mempunyai jumlah sokongan Ahli Parlimen mencukupi bagi membolehkan gabungan berkenaan mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Bagaimanapun, Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan menerima laporan risikan berkaitan rancangan tersebut.

Zahid menegaskan ia tidak memberi kesan, sebaliknya Kerajaan Perpaduan kekal dengan sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Pada 14 Januari lalu, beliau mencadangkan Rang Undang-Undang (RUU) Penggal Tetap perlu digubal bagi memastikan sebuah kerajaan yang wujud sama ada menerusi parti yang dominan atau gabungan, dikekalkan sehingga akhir penggal.

Sementara itu, Anwar pula mengambil pendirian untuk tidak peduli tentang Langkah Dubai dan menyifatkan ia tidak memberi kesan kepada gerak kerja kerajaan untuk memastikan kebajikan rakyat terbela.