PM sudah sediakan inisiatif, ini yang boleh penghantar makanan buat

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melakukan tugas beliau. Kini penunggang atau pemandu e-hailing mesti kembali kepada hak mereka.”

Itu kata Pengerusi Biro Pekerja Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dalam satu sidang media berkaitan dakwaan penurunan kadar bayaran bagi golongan penghantar makanan (p-hailing) sebuah syarikat.

Katanya, Anwar telah melakukan tugas beliau iaitu menyediakan inisiatif pembiayaan maksimum sehingga RM10,000 kepada penghantar makanan untuk pembelian motosikal baharu.

“Seperti mana yang telah disarankan oleh Perdana Menteri, membantu bermaksud kita memberikan motor dan semua kelengkapan sebanyak RM10,000 ke bawah.

“Ini telah dilakukan dan hampir 7,000 lebih telah menerima inisiatif ini dan kita teruskan sehingga ke hari ini.

“Kita tidak pernah melonggar, mengenepikan atau tidak melayani mereka. Bila tengok dalam mobile preneur itu, 7,190 orang mengambil produk kita.

“Datuk Seri Anwar tegas. Tahun lepas beliau tambah RM10 juta untuk diberikan kepada kumpulan ini.

“Maknanya, Datuk Seri Anwar telah melakukan tugasnya dan tugas sebagai penunggang atau pemandu mestilah pergi kembali kepada hak mereka,” katanya dalam sidang media itu, hari ini.

Menjawab kepada persoalan tentang hak penunggang penghantar makanan, Abdullah Sani berkata, mereka boleh menubuhkan kesatuan.

“Apa hak mereka? Tubuhkan kesatuan atau pun bergabung dengan kesatuan yang ada.

“Kalau berasa gundah-gulana, buat macam itu supaya ianya tidak dapat tekanan daripada syarikat.

“Syarikat pula wajib mengiktiraf permohonan ini berdasarkan pindaan Rang Undang-Undang di bawah Akta Hal Ehwal Sekerja 1959.

“Perdana Menteri telah beri kamu pancing, ikannya adalah kerja kamu untuk kamu menegakkan apa yang ada dalam hak anda,” katanya lagi.

Pada 19 Januari lalu, seramai lebih 100 orang penghantar makanan sebuah syarikat berhimpun mogok di ibu pejabatnya di Petaling Jaya, Selangor.

Mogok itu dilakukan susulan membantah penurunan kadar bayaran penghantaran untuk mereka.

Mereka menyuarakan rasa tidak puas hati dengan penurunan kadar asas daripada RM5 kepada RM4.

Bagaimanapun, syarikat itu dilapor menyusun semula rangka kerja bayaran dan bonusnya untuk memastikan pampasan adil kepada rider penghantaran serta pemandu P-hailing yang menerima tempahan yang memerlukan lebih banyak masa dan usaha.

Dalam kenyataan, syarikat itu memaklumkan bahawa struktur pendapatan baharu yang berkuat kuasa pada 17 Januari lalu memberikan manfaat kepada rakan kongsi penghantaran yang paling aktif.

Pembaharuan struktur itu akan memastikan tempahan yang menghendaki lebih banyak masa dan usaha akan dibayar dengan lebih adil.

Dalam struktur baharu itu, tambang asas diubah di manakala insentif dinaikkan bagi penghantaran pada waktu puncak, pengambilan jauh dan masa menunggu tambahan bagi penghantaran ‘pick-up’.