PN macam biasa terus membisu dengan kenyataan rasis Mahathir

Pemuda AMANAH Nasional kesal dengan Perikatan Nasional (PN) yang terus membisu selepas Tun Dr Mahathir Mohamad mengeluarkan kenyataan rasis terhadap rakyat Malaysia berbangsa India. 

Naib Ketuanya, Ammar Atan berkata, melihat Mahathir yang bertindak sebagai penasihat tidak rasmi kepada empat kerajaan negeri ditadbir oleh Pas atau ‘State-Goverment 4′(SG4), pandangan rasisnya sama sekali tidak boleh dianggap isu remeh.

Pengerusi PN, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin yang menantunya lari ke luar negara juga langsung tidak berkata apa-apa mengenai hal tersebut.

“Apabila kenyataan Mahathir tidak disanggah oleh PN, maka jelaslah siapa yang mahu memporak-perandakan keamanan dan perpaduan negara ini.

“Ingin saya ingatkan PN bahawa menyerang rakyat sendiri, sungguhpun berbeza kaum dan agama, tidak menjadikan kita lebih Melayu atau Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Mahathir dilapor mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana terikat dengan negara asal mereka.

Pandangan itu disuarakan beliau dalam temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit India, Thanthi TV.

Berikutan itu Ammar mendesak supaya Dr Mahathir disiasat di bawah undang-undang jenayah berikutan kenyataannya di media asing yang mendakwa rakyat Malaysia berbangsa India tidak setia sepenuhnya kepada Malaysia. 

Terdahulu, media melaporkan polis merakam keterangan Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) jam 11 pagi tadi.

Lapor Malaysia Gazette memetik sumber, sesi itu dibuat berhubung kenyataan Mahathir bahawa masyarakat India masih tidak setia sepenuhnya kepada negara.

BACA JUGA Menteri yang mendengar, Fahmi umum pakej khas untuk penunggang esok