Cukuplah Tun M, berehatlah… – Puad

Selepas Datuk Lokman Noor Adam menasihati Tun Dr Mahathir agar ‘bertenang’, kini Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi pula mencadangkan agar ahli politik berusia 98 itu untuk ‘berehat’.

”Banyak kejayaan Tun Mahathir sebelum ini termasuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Cukuplah Tun. Biar Mukhriz (anak kepada Mahathir) dan anak muda lain meneruskan legasinya.

”Berehatlah…,”tulis Mohd Puad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, dalam satu catatan di Facebooknya, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Puad turut menyifatkan kesanggupan Dr Mahathir menyertai demonstrasi di hadapan Istana Negara semalam, adalah sebagai untuk mengekalkan kerelevanan beliau.

”Selepas membuat kejutan luar biasa pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), imej Tun terus merudum.

“Macam-macam dia buat. Dia tubuh parti Pejuang dan akhirnya hilang deposit di Langkawi,” katanya lagi.

Dalam catatan sama, timbul tanda tanya daripada Mohd Puad terhadap bekas Perdana Menteri dua kali itu.

”Tidak mungkin Tun M ada penyakit ‘Alzheimer politik’?

“Sidang media dua hari lalu membuktikan beliau tidak keruan kerana tertekan Mirzan disiasat,” tulis ADUN Rengit itu di laman sosialnya.

Pada 22 Januari lalu, Dr Mahathir mendakwa tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat anaknya, Mirzan untuk mengumpul bukti dengan tujuan menampakkan beliau bersalah.

Malah katanya, bahan bukti yang perlu diserahkan melibatkan pengisytiharan aset sejak 42 tahun lalu, akan digunakan pihak berkuasa untuk mendakwanya di mahkamah.

“Anak saya disiasat, diancam. Apa yang dia (Mirzan) buat? Dia suruh anak saya bagi bukti supaya ayah boleh dicaj. Anak saya kena caj, kena beri bukti.

“Dari tahun 1981 sampai sekarang, sudah tentu dia simpan dalam pejabatnya, dalam bilik yang penuh dengan cek, dokumen.

“Kalau lebih 30 hari boleh kena hukum, masuk penjara lima tahun. Dia kena tanya bank, Petronas, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), korek pejabat dia sebab kena tunjuk bahan bukti,” katanya dalam sidang media.

Pada 18 Januari lalu, SPRM menyerahkan notis perintah kepada Mirzan mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 yang mengkehendakinya mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih sama ada di dalam atau luar negara dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis diberikan.