Hadi Awang tengah tak sihat pun masih ‘teringat’ pada DAP

Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil hairan dengan catatan Minda Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang terus menerus menyebut nama DAP seperti tiada isu lain yang boleh diketengahkan.

Faiz berkata, Abdul Hadi yang kesihatannya tidak menentu seharusnya bersikap lebih matang dan tidak perlu berterusan mencari salah DAP.

Dalam catatan Abdul Hadi pada 22 Januari, Presiden Pas itu mengatakan DAP tidak setia kepada negara dan tidak menghormati kedudukan raja berpelembagaan apabila menetapkan peraturan sendiri berkenaan pengurniaan pingat.

Abdul Hadi berkata, pada akhir-akhir ini DAP menunjukkan sikap lebih bermuka-muka kerana tetap mempertahankan prinsip dan konsep perjuangan mereka yang tidak menghormati raja-raja.

Rentetan itu Faiz berkata, Abdul Hadi tidak seharusnya meneruskan sikap yang jauh menyimpang daripada sifat rahmah yang dianjurkan Islam.

Bekas ADUN Permatang Pasir itu juga menjelaskan, DAP tidak pernah menolak pingat, sebaliknya polisi mereka membenarkan ahli mereka menerima kurniaan pingat hanya selepas tidak lagi berjawatan.

“Sebagai contoh dua bekas Exco DAP di Penang terima kurniaan selepas tidak lagi menjadi Exco. Jadi, mereka tetap hormat dan menghargai kurniaan pingat dan darjah kebesaran.

“Ironinya, Pas seolah-olah tiada isu lain selain menyebut nama DAP dan membangkitkan sentimen kaum sedangkan polisi DAP tidaklah bermaksud menghasut, menghina Raja-Raja Melayu seperti Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

“Seharusnya Ustaz Hadi yang sedang mendapat rawatan bersikap lebih matang dan sejahtera. Sungguhpun begitu, saya mendoakan kesembuhan buat beliau,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Terdahulu, Minda Presiden Pas coretan Abdul Hadi mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial kerana tidak berhenti menyebut nama DAP dalam hantaran-hantaran di Facebook miliknya.

“Rasanya dah nak dekat 5 hantaran dah ni sebut DAP, berturut turut pula tu. Macam mana nak tarik minat golongan profesional untuk sokong Pas kalau macam ni,” komen salah seorang pengguna X.

BACA JUGA Lokman nasihat Mahathir agar ‘bertenang’

Â