Jangan sesekali cabar kedaulatan negara – Azalina

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengingatkan agar jangan ada mana-mana pihak yang cuba untuk mencabar kedaulatan negara.

Beliau menegaskan, Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan berkompromi dan akan mempertahankan negara daripada apa jua ancaman.

”Jangan sesekali cabar kedaulatan Malaysia,” tegas beliau ketika mengulas mengenai Tuntutan Sulu dalam satu hantaran di Facebook beliau hari ini.

Dalam hantaran sama, Azalina turut memaklumkan bahawa beliau telah mengadakan perjumpaan dengan Kor Diplomatik Eropah, semalam.

Katanya, banyak negara mengikuti rapat Tuntutan Sulu dan cara pengendalian Malaysia berdepan dengan kes tersebut.

”Saya telah berkongsi dengan hadirin mengenai kronologi isu Tuntutan Sulu dan perkembangan dari Madrid baru-baru ini, di mana penimbang tara yang terlibat dalam angkara ini, Gonzalo Stampa, telah dihukum penjara.

”Negara-negara seluruh dunia perlu bekerjasama melihat kepada kelemahan undang-undang dan penyalahgunaan proses timbang tara hasil daripada kes Tuntutan Sulu.

”Ini penting bagi mengelakkan berulangnya isu seperti ini di mana-mana negara,” ujar beliau lagi.

Dalam masa sama, Azalina berharap perbincangan yang diadakan itu akan menjadi pemula kepada kerjasama dan terbentuknya Kumpulan Kerja antara negara-negara anggota Kesatuan Eropah dan Malaysia.

Kerjasama itu, jelasnya, bagi melihat kepada isu-isu timbang tara antarabangsa, termasuk pembiayaan daripada pihak ketiga, selain amalan terbaik dan kod etika penimbang tara.