Kabinet putuskan tubuh RCI kaji pengendalian kes Pulau Batu Puteh

Setiausaha Jemaah Menteri Tan Sri Mohd Zuki Ali telah mengumumkan keputusan Kabinet untuk menubuhkan Suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk mengkaji pengendalian kes kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

“Penubuhan RCI ini dibuat adalah selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119] yang mana cadangan keanggotaan RCI akan dibawa untuk perkenan kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong,” kata beliau dalam satu kenyataan.

“Cadangan ahli-ahli ini akan mengambil kira komposisi pakar-pakar yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang kehakiman, perundangan, dan pentadbiran awam serta dapat melaksanakan siasatan dengan telus, adil dan saksama bagi mengelak sebarang isu yang melibatkan konflik kepentingan dengan pihak-pihak yang berkaitan.”

Keperluan penubuhan RCI bertitik tolak dari tuntutan bertindih ke atas tiga pulau tersebut yang telah dituntut oleh Malaysia dan Singapura.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa telah membuat keputusan menyebelahi Singapura. Perdana menteri ketika keputusan tersebut dibuat ialah Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mahathir ketika itu memutuskan bahawa tuntutan Malaysia di ICJ perlu ditarik semula.

“Jika Malaysia tidak menepati syarat mahkamah antarabangsa, yang keputusan itu mesti diterima kedua-dua pihak (Malaysia dan Singapura), Indonesia juga boleh membuat tuntutan untuk tidak menepati perjanjian yang sama berkenaan Pulau Sipadan dan Ligitan,” kata Mahathir pada tahun 2022, lapor Berita Harian.

“Janji antarabangsa oleh sebuah negara berdaulat hendaklah ditunai sebagai amanah.

“Jika tidak, Malaysia tidak akan dipercayai akan menunaikan perjanjian dengan negara lain. Malaysia akan hilang kredibiliti.