MP Tg Karang pula isytihar sokong Anwar

Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (PN-Tg Karang) ialah ahli pembangkang Bersatu terbaru dan yang pertama dalam tahun 2024 untuk mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pengisytiharan sokongan ini kepada kepimpinan perdana menteri kesepuluh adalah tanpa sebarang paksaan dan tekanan daripada mana-mana pihak dan saya lakukan dengan sepenuh hati untuk kepentingan penduduk Tanjoong Karang,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

“Saya juga ingin menyatakan sokongan kepada dasar dan inisiatif kerajaan Madani yang mengutamakan kebajikan, pembangunan, ekonomi dan kepentingan rakyat sehingga pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Sebelum ini, lima ahli parlimen Bersatu telah mengisytiharkan sokongan terhadap Anwar, iaitu Syed Abu Hussin Hafiz (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) serta Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Beliau turut menjelaskan bahawa beliau masih wakil rakyat Bersatu dan PN.