Pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda: MB nafi tapi pengusaha padi organik rugi
Pengusaha padi organik di Kampung Lintang, Belantek, Sik, menanggung kerugian hampir RM180,000 akibat banjir yang dipercayai akibat pembalakan di Hutan Simpan (HS) Ulu Muda.
Menurut Zakaria Kamantasha, 57, banjir di kawasan sawah diusahakannya sejak 14 tahun lalu, semakin buruk pada 2021 apabila dua hektar padi miliknya musnah.
Katanya, sawah yang diusahakannya bergantung sepenuhnya daripada air Sungai Muda.
“Sejak 2021, banjir di sini semakin buruk apabila turut membawa puing seperti pasir, batu dan kayu.
“Padi yang sepatutnya boleh dituai dalam tempoh seminggu musnah begitu saja.
“Keadaan sawah juga teruk apabila turut dipenuhi pasir, batu dan serpihan kayu, menyebabkan saya terpaksa mengeluarkan belanja besar untuk membersihkan sawah.
“Pada 2021 saya kerugian hampir RM180,000,” lapor BH.

Zakaria berkata, pada 2022, kejadian sama turut berlaku dan dia terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk membaik pulih pagar dan kemudahan lain.
Hal ini memandangkan kawasan sawah itu juga menjadi institut pendidikan untuk pelajar dari seluruh dunia belajar mengenai tanaman padi organik.
Banjir antara Ogos dan September lalu juga, jelasnya, menyebabkan beliau terpaksa menangguhkan proses tanaman padi organik beberapa kali.
Sebelum ini, Rimba Watch mendakwa kegiatan pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda mengakibatkan Tasik Muda yang menjadi sumber air utama kepada pengguna Pulau Pinang dan Kedah, mengalami masalah mendapan selut.
Kajian dilakukan melalui pemantauan imej satelit mendapati Tasik Muda mula mengumpul mendapan selut sejak Mac tahun lalu dan semakin membesar pada Oktober lalu.
Walau bagaimanapun, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan dakwaan Rimba Watch itu.
Pemimpin Perikatan Nasional (PN) berkenaan mendakwa masalah mendapan selut itu disebabkan oleh pasir, tanah dan serpihan kayu dihanyutkan empat sungai utama yang menyalurkan bekalan air ke empangan tersebut.
Malah, Sanusi berkata, aktiviti pembalakan di Kedah mematuhi peraturan dan standard antarabangsa, selain semua keperluan serta peraturan dikenakan ke atas industri kayu dipatuhi dengan tegas dan dikuatkuasakan Jabatan Perhutanan negeri.
Â