Rafizi harap Radzi Jidin hadiri ‘Yang Bakar Menteri’

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sangat berharap agar bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin menerima jemputan untuk hadir dalam siaran podcast ‘Yang Bakar Menteri (YBM)’.

Harapan Timbalan Presiden PKR itu susulan dakwaan Radzi kononnya eksport Malaysia jatuh selama 10 bulan berturut-turut.

“Saya sangat-sangat berharap Radzi Jidin sudi terima jemputan untuk hadir dalam #YBM yang seterusnya.

“Ini peluang untuk hentam saya cukup-cukup pasal prestasi ekonomi dan pendekatan kerajaan sekarang,” katanya menerusi hantaran di aplikasi X.

Rafizi Ramli

Dalam masa sama, Rafizi secara sinis berkata, kehadiran Radzi turut memberi peluang kepadanya untuk bertanyakan mengenai ‘legasi’ Ahli Parlimen Putrajaya itu sewaktu berada dalam kerajaan Persekutuan.

“Ia juga bagi peluang kepada saya tanya pasal learning loss pelajar-pelajar Malaysia yang menjadi legasi beliau semasa dia jadi Menteri Pendidikan,” perli Rafizi.

Terdahulu, Radzi yang juga Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, kali terakhir eksport jatuh selama lebih 10 bulan berturut-turut adalah 15 tahun yang lalu.

Sehubungan itu, dia yang menggelar kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘kerajaan Madanon’ menempelak agar tidak ‘sembang deras’.

“Kepada kerajaan Madanon PH-BN, fokuslah kepada pembangunan ekonomi negara. Cukuplah sembang deras.

“Kepada yang dok sibuk nak berdebat tu, cukup-cukuplah terbawa-bawa nostalgia zaman sekolah dan fe’el masa jadi pembangkang dulu.

“Hangpa dah jadi kerajaan kot!” kata Radzi di platform X.

Â