Reformasi Persaraan Madani

Oleh DR. BAM AL-HAJ

Isu pencen di Malaysia masih belum mantap. Ada kakitangan kerajaan yang mendapat pencen, ada yang tidak.

Ramai mengeluh dan bertanya kenapa orang politik yang hanya berkhidmat 36 bulan sebagai wakil rakyat dan pegawai-pegawai lantikan politik mendapat pencen seumur hidup?

Anggota tentera yang berkhidmat kurang daripada tempoh tertentu pula tidak dibayar pencen, sedangkan jasa mereka kepada negara begitu besar.

Pekerja swasta dan korporat pula hanya ada caruman KWSP/EPF. Wang itu pula tidak cukup untuk menampung kehidupan hari tua, terutama bagi yang tidak sihat dan tidak mampu bekerja lagi.

Kebanyakan kita “kelabu mata” apabila pada umur 55 tahun mendapat wang pencen RM150,000 hingga RM600,000.

Wang habis

Kebanyakan daripada wang itu habis dalam tempoh tidak sampai setahun, terutama bagi yang tiada perancangan kewangan daripada awal.

Ada yang melabur tetapi lebur. Tidak kurang yang tertipu dengan “scammer” dan skim cepat kaya.

Ada juga yang cuba berniaga. Buka restoran besar, tetapi tidak sampai setahun lingkup, sebab tiada pengalaman berniaga.

Ada pula yang “enjoy” bercuti ke luar negara dua tiga kali setahun. Tanpa sedar, wang semakin habis.

Ada juga yang terpaksa membayar bil hospital akibat penyakit kronik, iaitu bagi yang tidak berpencen dan tidak mengambil “medical card”.

Oleh itu, kerajaan dicadangkan mengkaji semula sistem pencen untuk semua, sama ada kakitangan kerajaan atau swasta/korporat dan bahkan bagi peniaga, petani dan nelayan yang bekerja sendiri.

Reformasi Persaraan Madani

Sudah sampai sistem pencen ini perlu anjakan baharu. Saya namakannya sebagai Reformasi Persaraan Madani.

Sistem EPF di Australia dan Singapura sudah lama diubah. Wang EPF tidak boleh dikeluarkan, tetapi di”convert” menjadi pencen bulanan AUS3000/$3000 selepas umur 67 thn.

https://www.servicesaustralia.gov.au/age-pension

Sistem ini jauh lebih baik berbanding sistem EPF di Malaysia.

Saya pasti jika kerajaan PMX berani mengubah sistem sedia ada, ia akan memberi kelegaan kepada rakyat.

Untuk lebih mantap, caruman pekerja dan majikan boleh ditingkatkan kepada minimum 25 peratus. Pencen tersebut juga sepatutnya boleh diwariskan kepada pasangan masing-masing.

Dahulu ada sistem anuiti takaful, tetapi telah dimansuhkan. Mungkin ia boleh difikirkan semua atau ada cara dan kaedah yang lebih baik.

Elok pegawai JPA, Kementerian Sumber Manusia dan pihak tertentu buat lawatan ke Australia dan Singapura bagi mengkaji sistem yang mereka gunapakai sekarang.

Sistem pencen kerajaan kini sudah tidak lagi relevan kerana ia menjadi beban besar kepada kerajaan. Kerajaan kini terpaksa menanggung pencen sebanyak RM1.3 bilion setahun.

Oleh itu, sistem pencen kakitangan kerajaan perlu dimansuhkan dan digantikan dengan sistem baharu yang lebih baik.

Dengan itu, semua mendapat layanan yang sama dan adil.

Ini semua adalah untuk faedah hari tua. Jika wang tersebut diurus dengan betul dan terus tanpa ketirisan, rasuah dan penyelewengan, ia pasti dapat digandakan bagi menampung keperluan rakyat pada masa akan datang.

Â