Selangor sumbang RM100,000 demi kebajikan mahasiswa Selangor UMS

Kerajaan negeri Selangor telah menyumbangkan RM100,000 demi menjaga kebajikan mahasiswa Selangor di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Sumbangan itu telah diberikan kepada Persatuan Mahasiswa Selangor.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan pentadbirannya sentiasa mengutamakan kebajikan mahasiswa Selangor.

“Sebagai Menteri Besar yang memegang portfolio pendidikan, sudah pasti kebajikan anak-anak mahasiswa Selangor sentiasa menjadi keutamaan saya dan pentadbiran ini.

“Kerajaan Negeri akan sentiasa mengutamakan agenda pendidikan demi melahirkan generasi anak Selangor yang hebat,” katanya menerusi satu catatan di Facebooknya, hari ini.

Ahli Parlimen Gombak itu turut mendoakan agar mahasiswa tersebut akan pulang dengan kejayaan dan membanggakan keluarga serta negeri tercinta.

Baru-baru ini media telah melaporkan bahawa pelajar di universiti awam tersebut menghadapi krisis air hingga mereka tidak dapat mandi.

Terdahulu, Amirudin yang juga Exco Pendidikan memanfaatkan masa di negeri bawah bayu itu dengan bertemu hampir 200 mahasiswa anak Selangor di institut pendidikan itu, sempena Program Jerayawara Kita Selangor.

Katanya pelbagai perkara turut dibincangkan dalam program itu, selain mendengar cadangan dan luahan mahasiswa dengan tekun dan teliti.