Sewa naik mencanak, peniaga di Alor Setar tidak puas hati

Peniaga di Medan Pasar Besar Alor Setar, Kedah tidak puas hati dengan kadar baharu sewa tapak niaga yang didakwa ‘naik mencanak’.

Wakil peniaga, Mohd Firdaus Shahi Zabiat berkata, peniaga di situ dimaklumkan perlu membayar sewa antara RM550 hingga RM700 sebulan.

Sebelum ini mereka dikenakan hanya RM90 sebulan untuk satu tapak gerai di medan selera berkenaan.

Firdaus berkata, kenaikan kadar sewa baharu dipercayai disebabkan medan selera itu dinaik taraf dan telah diswastakan untuk diuruskan syarikat swasta yang terlibat.

“Kami dijangka masuk semula berniaga di medan selera pada 1 Februari. Kita dapat berita mengatakan deposit satu tapak sehingga RM2,000 dan kadar sewaan sebanyak RM550 hingga RM700 sebulan.

“Itu adalah beban kepada pihak peniaga-peniaga yang berniaga di sini. Semua ada 30 peniaga di mana ada susah dan ada sederhana,” lapor Harian Metro.

Menurut pemuda itu lagi, mereka hanya berniaga selama lima jam iaitu bermula dari jam 7 pagi hingga jam 12 tengah hari pada setiap hari.

Bagaimanapun beliau meluahkan bahawa mereka tidak memperoleh hasil yang banyak dan hanya mampu balik modal.

Ini kerana katanya, pelanggan tidak ramai pada Ahad hingga Khamis dan beliau turut dimaklumkan bahawa tapak peniaga asal berkemungkinan akan diberikan kepada peniaga baharu jika mereka tidak mampu untuk membayar deposit dan sewa bulanan.

Bukan sahaja Mohd Firdaus, malah peniaga minuman, Zahira Shokut Ali, 45, menyifatkan kadar sewa baharu dikenakan itu, terlalu membebankan peniaga medan selera berkenaan.

Sehubungan itu, Yang Dipertua Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Melayu Malaysia (GAPEMA) Kedah, Baharudin Mohamed Ali memaklumkan, satu surat telah dihantar kepada pihak Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) semalam.

Katanya, peniaga terlibat terkejut dengan kadar sewa bulan baharu tapak medan selera yang naik berlipat ganda hingga membebankan mereka.

Beliau berharap, isu berkenaan mendapat perhatian pihak berkenaan dan diselesaikan segera.