Suspek kes bunuh Bella didakwa hari ini

Suspek yang ada kaitan dengan penemuan rangka milik Mila Sharmila Samsusah atau Bella, yang hilang sejak 14 Disember lalu, akan didakwa di mahkamah di Batu Pahat, hari ini.

Terdahulu, polis menahan teman lelaki Bella berusia 24 tahun dan disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.

Polis turut menahan dua lagi individu yang dipercayai ada kaitan dengan kehilangan ibu kepada dua anak itu bagi membantu siasatan.

Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, pihaknya mengesahkan rangka ditemui dalam rumah terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah adalah Bella.

Pengesahan itu dibuat selepas keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sepadan dengan sampel daripada ibu dan kakak mangsa.

Jelasnya, polis sudah menghubungi keluarga mangsa untuk menuntut jenazah di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.

“Analisis DNA yang dihantar ke Jabatan Kimia pada 21 Januari lalu diterima polis hari ini,” katanya dalam kenyataan.

Ujian DNA dijalankan pada 20 Januari lalu dengan polis mengambil sampel tisu daripada Norhisham, 36, dan ibunya Noraini Salleh, 55, bagi menentukan rangka ditemui dalam rumah terbiar ialah Bella.

Â