Bomba pun puji tindakan lelaki ini bantu lancarkan pergerakan kenderaan

Anggota bomba memuji tindakan seorang lelaki yang telah membantu melancarkan pergerakan trafik di Banting, Selangor sehingga membolehkan jentera pasukan penyelamat itu melepasi kesesakan menuju ke lokasi kemalangan.

Tindakan yang turut mendapat pujian warganet itu berlaku di Jalan Banting-Dengkil, Sungai Manggis sejurus nahas jalan raya membabitkan lima kenderaan dan dua keluarga maut.

Pemandu jentera bomba @eklinamit berkenaan bersyukur dengan tindakan yang dilakukan oleh lelaki bertopi keledar itu.

Menerusi video yang tular, lelaki itu dilihat meminta kerjasama pemandu lori kontena yang berada di kiri jalan dan bas di kanannya untuk ke sisi, bagi membolehkan jentera bomba itu lalu.

“Anda layak diberi pujian dan tepukan daripada seluruh rakyat Malaysia. Terima kasih dan penghormatan daripada kami,” tertera pada kapsyen video yang dikongsikan itu.

Dalam masa sama, beliau berharap semoga lelaki berkenaan diberikan kesihatan yang baik dan dimurahkan rezeki atas jasa dan bakti yang telah dicurahkan.

“Hanya Tuhan yang mampu membalas jasa baik kamu,” kata @eklinamit lagi.

Rakaman video yang dimuatnaik itu turut menerima reaksi daripada individu berkenaan yang dikenali sebagai Shazaril.

Beliau memberitahu, niatnya hanya untuk membantu apa yang sepatutnya.

Hasil daya usaha Shazaril itu, pasukan penyelamat tiba di lokasi tepat pada masanya serta membantu mangsa kemalangan.

Susulan itu, warga maya turut memuji sifat kesukarelawanan Shazaril sehingga dapat memastikan jentera bomba itu tidak terkandas dalam kesesakan trafik seterusnya mempermudahkan urusan menyelamat mangsa kemalangan.

“Semoga menjadi asbab masuk syurga Allah.

“Kamu letak diri di tempat yang harus dilihat dan dicontohi oleh semua orang.

“Gagah berani. Dalam berpuluh orang yang ada, beliau seorang saja yang sanggup turun bantu.

“Terbaiklah. Jika kita tak boleh menjadi orang yang berada di barisan hadapan, cukuplah kita berada di belakang untuk mempermudahkan urusan.

“Saya mahu kongsi video ini. Biar orang lain pun boleh tengok dan contohi sikap terpuji sebegini,” demikian antara komentar orang ramai.