Ini rupanya sebab kenapa skim pencen sekarang rugikan anak cucu

Oleh NIK HASYUDEEN

Di dunia ini ada 2 jenis ganjaran persaraan dengan profil risiko yang berbeza:

  1. Manfaat yang dinyatakan (defined benefits)

Majikan menyatakan manfaat yang akan dibayar kepada pekerja apabila dia bersara kelak.

Ini lebih popular sebagai pencen yang mana pencen yang dibayar dijanjikan sebagai peratusan dari gaji akhir.

  1. Caruman yang dinyatakan (defined contribution)

Majikan akan mencarum jumlah tertentu di dalam tabung saraan pekerja.

Manfaat yang boleh dinikmati oleh pekerja bergantung kepada prestasi pelaburan tabungan berkenaan. Ini samalah dengan skim KWSP yang ada di sektor swasta.

Dahulu sektor swasta pun ada yang mengamalkan skim pencen. Namun, oleh sebab bebanan dan tanggungan pencen amat besar, tidak ada lagi skim pencen diamalkan di sektor swasta.

Malah, syarikat pelaburan kerajaan (GLIC) pun sudah tiada skim ini kecuali pekerja-pekerja berumur yang masuk di dalam skim berkenaan dahulu.

Yang baharu semuanya mencarum kepada KWSP.

Tanggungan pencen semakin tinggi apabila umur pekerja semakin panjang sedangkan mereka sudah tidak menyumbang kepada negara secara langsung.

Faktor skim pencen bebankan negara

Di antara faktor yang menyebabkan skim pencen membebankan ialah pertambahan jangka hayat penduduk.

Lagi panjang umur pekerja, lagi tinggi tanggungan pencen sedangkan pekerja berkenaan sudah tidak menyumbang kepada operasi majikannya.

Jika jumpa pencennya ialah 50 peratus daripada gaji terakhir, majikan menanggung gaji seorang pekerja bagi 2 orang pekerja yang telah bersara.

Bayangkan tahap produktiviti yang perlu dijana untuk menanggung beban ini.

Satu lagi faktor ialah kenaikan pencen.

Sekiranya kontrak di antara majikan dan pekerja memperuntukkan apabila ada pelarasan gaji, pencen juga kena diselaraskan, ini adalah satu bebanan yang tidak ada kena mengena dengan produktiviti juga.

Sebab-sebab di atas telah menjadikan isu pencen di antara beban ekonomi terbesar di negara-negara membangun.

Perancis misalnya telah mengubah umur pesaraaan baru-baru ini dan ini telah ditentang oleh rakyatnya.

Banyak harta yang terbakar. Orang di sana nak bersara awal dan dibayar pencen yang tinggi.

Akhirnya, yang menanggung bebanan ini ialah anak, cucu, cicit penerima pencen di dalam bentuk cukai yang lebih tinggi atau pun perkhidmatan kerajaan yang lebih kurang mutunya.

Sebabnya, kerajaan terpaksa mendahulukan pencen berbanding perkhidmatan kesihatan atau pendidikan.

Semakin matang sesebuah negara, semakin besar pula isu tanggungan ganjaran persaraan ini.

Kaedah kedua (seperti KWSP) mengalihkan isu pendapatan di hari tua kepada pekerja. Ini pun satu masalah juga.

Cuma, kerajaan secara berkala boleh membantu dengan pelbagai skim penambahan pendapatan, bergantung kepada kedudukan kewangan kerajaan ketika itu.

Diharapkan isu pencen dan ganjaran persaraan ini membuka mata kita berkenaan tadbir urus negara.

Kita tidak boleh memilih ahli politik yang pandai berpidato tetapi apabila diberikan kuasa hanya sekadar menolak masalah ke masa hadapan.

Masalah kena ditangani sekarang, hari ini. Ada tindakan kerajaan yang tidak popular tetapi kena dibuat agar anak, cucu, cicit kita tidak tertanggung dengan beban yang lebih teruk.

Seperti biasa, ramai orang yang mahu kesenangan tanpa bimbang siapa yang akan membayar kosnya.

Ini satu perkara biasa dan orang-orang seperti ini akan wujud sehingga akhir zaman.

*DATUK NIK MOHD HASYUDEEN YUSOFF merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji (TH).