Kalau kekayaan hasil usaha yang tulen, apa nak takut?
Oleh WAN HASNI WAN SULAIMAN
Bermulalah pembukaan cerita kroni-kroni. Siapa kroni siapa, dan siapa dapat projek apa.
Tahun 1990-an adalah zaman di mana hampir kesemua usahawan dalam negara, tak kira Melayu, Cina atau India, membuat bisnes dengan kerajaan.
Pada zaman itu, Malaysia sedang dalam proses membentuk apa yang dikatakan sebagai “Malaysia Incorporated“.
Zaman di mana penswastaan besar-besaran dibuat. Itu model pertumbuhan ekonomi negara.
Sesiapa yang terlibat, di mana hampir seluruh negara terlibat, maka mereka semua adalah kroni kerajaan.
Kerajaan pula dipimpin oleh Barisan Nasional (BN), maka mereka adalah kroni BN. Dalam BN pula ada parti-parti besar, UMNO, MCA, MIC, Gerakan – maka ada pula kroni UMNO, kroni MCA, kroni MIC dan sebagainya.
Kalaulah kroni kerajaan ini menjadi satu permasalahan yang mana kita semua pada hari ini merasakan “tidak bersetuju”, maka ia akan menjadi masalah besar.
Sebabnya, hampir kesemua daripada kita adalah kroni kerajaan. Siapa yang dapat biasiswa daripada kerajaan juga adalah kroni kerajaan. Siapa yang bekerja dengan kerajaan juga adalah kroni kerajaan.
Kerajaan pada waktu itu dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir, dan Timbalan beliau adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jadi, kami semua yang terlibat adalah kroni kepada Tun Dr. M dan juga DS Anwar.
Apabila saya diminta/paksa membuat Statutory Declaration untuk menyatakan bahawa saya adalah kroni DS Anwar, pada waktu yang sama juga Datuk Murad Khalid (Mantan Timbalan Gabenor Bank Negara) diminta/paksa membuat SD beliau (yang kini disebut-sebut oleh Tun M), saya menolak untuk menandatangani SD tersebut.
Saya kata kalau dipaksa juga, boleh saya buat, tapi biarlah nama DS Anwar itu ditambah lagi dua nama, iaitu Kerajaan Malaysia, Mahathir dan Anwar Ibrahim.
Kerana itulah hakikat sebenarnya. Akhirnya, mereka yang “minta/paksa” saya back-down. Mereka kata, kalau begitu saya akan dihadapkan dengan pelbagai pertuduhan. Saya jawab – silakanlah.
Mereka juga berkata kesemua projek yang saya perolehi akan diambil balik. Saya jawab – saya tidak “own anything”.
Kesemuanya hak kerajaan Malaysia, maka lebih baiklah saya “serahkan balik” kepada kerajaan Malaysia.
Sudah disiapkan
Tetapi sebaliknya terjadi. Saya kena serahkan projek-projek tersebut kepada “orang lain” yang sudah disiapkan siapa penama yang disediakan.
Sebagai contoh, Express Rail Link (ERL), Abrar ada 20% saham, ianya diserahkan kepada Nadi Corp.
Projek-projek pembinaan hospital – diserahkan kepada AZRB, Bina Darul Aman, Magna Prima. Mereka ini kroni siapa pula?
Kalaulah menjadi kroni kerajaan satu kesalahan dari segi undang-undang, maka baiklah kita tangkap kesemua orang. Baiklah semua orang buat SD untuk declare.
Permasalahan sebenarnya ialah apabila diri sendiri, anak beranak serta kaum keluarga yang menjadi kaya raya, sedangkan diri sendiri memegang jawatan besar dalam kerajaan. Atau pun menggunakan orang lain sebagai proksi kepada tuan diri mengaut kekayaan.
Yang juga menjadi masalah adalah apabila “janji-janji” imbuhan kepada tuan diri daripada projek atau kontrak yang diperolehi, tidak kira sama ada direct nego, closed tender, ataupun open tender.
Imbuhan itu yang menjadi masalah. Tak kira apa pun, sama ada untuk diri, atau parti, atau apa saja hujahannya.
Pelik bin ajaib
Yang lebih memualkan saya ialah apabila bab kroni ini, orang Melayu saja yang disenaraikan.
Sebabnya apabila orang Melayu, mestilah kroni kepada pemimpin Melayu. Tapi kalau bukan Melayu menjadi kroni, tidak pula dipanggil sebagai kroni. Pelik bin ajaib!
Aduhai, kalau nak senaraikan semua projek kerajaan pada tahun 1990-an dan 2000-an sebagai “crony capitalism”, habislah semua – KLCC daripada Ananda Krishnan, serta juga Maxis.
Cyberjaya – Setia Haruman dll. KL Sentral – MRCB, Sentul East – YTL, Pavillion Group – Bukit Bintang Girl School, PLUS highway – Renong/UEM, KL Monorail – Scomi, Maju – MEX Highway… Panjang sangat nak senarai…
Sekarang ini isunya satu sahaja. Sekiranya anda pernah menjadi menteri, terutamanya sebagai Perdana Menteri, walaupun sekejap sekali pun, kekayaan anda ataupun anak beranak berbilion ringgit (atau Dollar) – orang ramai ingin tahu bagaimana anda mendapat kekayaan tersebut. Itu sahaja. Rakyat berhak tahu.
Kalau betul kekayaan itu hasil usaha yang “genuine” – apa yang takutnya. Go ahead disclose lah. Come out into the open. Tak usahlah nak serang SPRM atau AGC, ataupun juga nak serang PMX secara peribadi.
Sebabnya kalau menyerang, masyarakat akan melihat “you have something to hide”.
Sebagai contoh, Tan Sri Halim Saad did come out in the open.
Bahkan, beliau membawa perihalnya ke mahkamah. DS Najib juga already out in the open dengan 1MDB. Yang lain-lain juga dah lalu sebagai “kluster mahkamah”.
Pada pendapat saya, biarkan SPRM buat kerja mereka. Bekerjasama dengan mereka, bukannya menyerang mereka.
Selagi mereka mengikut aturan undang-undang untuk setiap titik dan koma – berurusan dengannya mengikut undang-undang.
Tak usahlah nak buat “court of public opinion” dengan sidang media dan sebagainya. The real court is the court of law.
Kapitalisme kroni pada 1990-an adalah dasar kerajaan yang jelas. Oleh itu ia mengikut undang-undang.
Namun, jika diri sendiri atau anak beranak kaya berbilion, agak sukar untuk diterima bahawa ianya hasil usaha perniagaan yang tidak terlibat dengan menggunakan kedudukan politik untuk memperkayakan diri dan keluarga.
Â