Ketika hangat syor mansuh skim pencen, pesara guru ini lesap lebih RM400,000

Ketika hangat ura-ura kerajaan ingin menamatkan skim pencen perkhidmatan awam, seorang pesara guru berputih mata apabila lesap RM442,947.

Wanita warga emas dari Taman Bercham Jaya, Ipoh itu terpedaya dengan skim pelaburan yang tidak wujud menerusi media sosial sejak Ogos tahun lalu.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, wanita berusia 69 tahun itu membuat laporan semalam apabila menyedari telah tertipu.

Jelasnya, hasil siasatan mendapati mangsa telah dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp bertulisan Cina bermaksud “S4 Pandangan Baru Terhadap Kekayaan Group”.

Kumpulan WhatsApp itu menawarkan skim pelaburan wang menggunakan platform “Accerx” yang tidak wujud.

Kata Mohd Yusri, suspek yang berperanan sebagai pentadbir kumpulan telah menunjukkan cara-cara menyertai pelaburan tersebut sehingga menarik minat mangsa.

“Sejak itu, mangsa telah memasukkan dana sebanyak 17 kali ke dalam 12 akaun bank berbeza berjumlah RM442,947.

“Namun apabila mangsa ingin mengeluarkan wang keuntungan, suspek meminta mangsa membuat bayaran, barulah mangsa sedar beliau telah ditipu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, beliau memberi peringatan kepada masyarakat supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan di platform media sosial.

Ini terutamanya melalui aplikasi kewangan atau pelaburan yang tidak diluluskan Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti.