Mansuh dulu pencen wakil rakyat, cadang Pemuda UMNO
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Saleh mencadangkan agar pemansuhan skim pencen dimulakan kepada semua ahli politik terlebih dahulu termasuk wakil-wakil rakyat.
Beliau berkata, adalah tidak adil untuk kerajaan memansuhkan pencen penjawat awam, sedangkan wakil rakyat pula boleh menikmati pencen sehingga tua.
“Kita memahami tekanan kewangan yang sedang ditanggung oleh kerajaan ketika ini
“Tetapi biarlah pemansuhan skim pencen ini dimulakan oleh wakil-wakil rakyat terlebih dahulu
“Tidak adil jika kita mansuhkan pencen mereka ,tetapi kita pula menikmati pencen sehingga mati,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Pada semalam, Kabinet dilapor bersetuju penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini tidak lagi menerima pencen.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendirian itu dibuat kerajaan selepas menilai bahawa menjelang 2040, jumlah pencen yang terpaksa ditanggung kerajaan jika sistem saraan sedia ada tidak dipinda, akan mencecah RM120 bilion setahun.
Bagi penjawat awam sedia ada, status berpencen mereka tidak terjejas, sementara penjawat awam baharu itu kelak akan membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Dalam pada itu Akmal berkata, seharusnya tiada dua darjat antara wakil rakyat dan rakyat berhubung isu pencen.
“Kerana kami percaya atas prinsip kepimpinan melalui tauladan
“Mohon cadangan ini diambil kira dan dipersetujui oleh semua wakil rakyat sama ada dari kerajaan mahupun pembangkang,” ujarnya.
BACA JUGA Beria bagitahu semua orang kerajaan nak tumbang, tapi lain pula jadi