Noh Omar kutuk rakan sekapalnya, dakwa Zulkafperi jarang turun jumpa rakyat
Tan Sri Noh Omar mengutuk rakan sekapalnya, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi selepas ahli Parlimen Tanjong Karang itu menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri.
Noh berkata, tindakan Zulkfperi tidak membawa apa-apa perubahan kepada rakyat di kawasan berkenaan kerana didakwa jarang turun padang dan pejabat pun tidak beroperasi.
Kata beliau, rata-rata rakyat di Tanjong Karang sering mengeluh kerana sukar bertemu dengan Zulkafperi selepas menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
“Dalam grup WhatsApp ada yang menyatakan Ahli Parlimen Tanjong Karang jarang turun padang dan pejabatnya pula tidak beroperasi,” katanya seperti dipetik Sinar Harian hari ini.
Lapor portal itu lagi, Noh yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang selama enam penggal berkata, Zulkafperi bukan anak jati Tanjong Karang dan tidak memahami permasalahan rakyat di sana.
“Zulkafperi datang dari bandar dan beliau tidak faham permasalahan rakyat di sini.
“Saya tidak nampak apa peranan beliau kerana tiada aktiviti dan gerak kerja dijalankan, malah semasa penamaan calon PRN (Pilihan Raya Negeri) DUN (Dewan Undangan Negeri) Sungai Burong dan Permatang pun beliau tidak hadir,” jelas Noh.” jelas beliau.
Pada masa sama, Noh mempersoalkan matlamat sebenar Zulkafperi dan adakah sokongan kepada Perdana Menteri akan membuatkan beliau memberikan khidmat lebih baik kepada rakyat.
“Zulkafperi kena ingat, pengundi sudah menolak beliau sejak PRU14 pada 2018 lagi semasa bertanding atas tiket PH (Pakatan Harapan).
“Beliau menang PRU15 kerana gelombang rakyat terutama orang Melayu yang memberi sokongan kepada PN dan menolak PH,” jelas beliau.
Tambah Noh, rakyat di Parlimen Tanjong Karang mahu pemimpin mereka selalu ‘turun padang’ dan mendengar permasalahan rakyat.
“Mendekati rakyat luar bandar bukan semata-mata menghulurkan bantuan, tetapi lebih penting ialah bagaimana menyantuni rakyat,” jelasnya.
Sebelum ini, seramai lima wakil rakyat daripada Bersatu menyatakan sokongan kepada Anwar iaitu Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik; Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Syed Abu Hussin Hafiz (Bukit Gantang).
BACA JUGA Sanusi ulangi minta RM100 juta jamin kemuncup pun tak ditebang
Â