Tanaman bawang merah berskala besar akhirnya jadi realiti, bakal kurangkan import
Demi mengurangkan kebergantungan kepada import bawang negara dalam tempoh lima tahun, penanaman bawang berskala besar akan dilakukan di Daerah Batang Padang, Perak dan Serdang, Selangor oleh pihak Jabatan Pertanian Malaysia (DOA).
Pegawai Penyelidik Kanan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Wan Rozita Wan Engah berkata, sebanyak 1.5 tan metrik tan bawang merah jenis BAW-1 telah berjaya diserahkan kepada DOA.
Melalui aktiviti pengembangan yang dilakukan oleh DOA, Mardi akan melaksanakan pemantauan secara berkala mengikut SOP penanaman yang disediakan oleh pihak Mardi bagi memastikan hasil yang diperolehi mencapai standard yang telah ditetapkan.
“Mardi akan menjalankan pemantauan secara berkala dan ini adalah peringkat pertama penyerahan.
“Mardi juga akan menyerahkan biji benih kepada pihak DOA bermula pada bulan Februari untuk menangani masalah isu bawang merah,” katanya dalam satu perkongsian video di laman rasmi Mardi.
Pada November tahun lalu, Mardi giat menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran bawang merah ekoran krisis bekalan bawang import akibat bencana banjir besar di India pada 2020.
Akibatnya ketika itu, harga jualan bawang meningkat sehingga tiga kali ganda daripada RM3 sekilogram kepada RM16 perkilogram.
Maka dengan itu Mardi mengambil keputusan menggiatkan lagi aktiviti penyelidikan bagi membantu kerajaan mengurangkan kebergantungan kepada import bawang.
Mardi kini giat mengkomersialkan pengeluaran benih dan bahan tanaman utama bawang merah dalam usaha meluaskan tanaman di dalam negara demi memastikan kedaulatan makanan terjamin serta meningkatkan ekonomi negara.
Mardi berhasrat untuk mempertingkatkan plot-plot tanaman bawang kepada 40 hektar pada 2025 dan seterusnya meningkat kepada 100 hektar menjelang tahun 2030.
BACA JUGA Beria beritahu semua orang kerajaan nak tumbang, tapi lain pula jadi