Trend orang pergi umrah hanya nak buat ‘content’

Oleh NORMAN RADZUAN

Saya menonton video tak sanggup nak tengok sampai habis. Apa tujuan? Kenapa di Masjid Nabawi? Datang sana memang nak ‘showoff’ kamu terpaling Melayu ke ni?

Buat brother dan keluarga, tujuan kita ke sana untuk beribadat. Saya bukan sahaja tidak berkenan dengan saudara bersilat di masjid yang sepatutnya untuk tempat beribadah tetapi tindakan saudara ini memalukan negara.

Sebenarnya, brother bila orang kita asyik bergambar sama ada menunaikan umrah atau haji pun untuk saya secara peribadi tidak berkenan. Bimbang perasaan riak itu muncul dan saya tertanya-tanya untuk apa disiarkan?

Ada orang bertanya tentang hukum bergambar ini. Dijawab hukumnya harus. Selagi tidak menganggu para jemaah lain ketika melakukan tawaf atau sebagainya dan niat sebagai kenang-kenangan.

Hukum bertukar jadi haram, sekiranya timbul untuk riak atau menunjuk-nunjuk. Bab ini yang sukar kita berbohong pada diri sendiri. Ya, benar dalam hati siapa yang tahu.

Tapi jujurlah dengan diri kita kerana suatu hari nanti kita akan mengadap Allah juga.

Adakah kita siarkan gambar tersebut hanya untuk kenangan peribadi? Kalau untuk kenangan boleh saja simpan dalam group family.

Ada ustaz popular meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa segelintir orang yang pergi menunaikan ibadah umrah hanya bertujuan untuk ‘content’ media sosial semata-mata.

Sekejap sekejap hendak bergambar dan terus post di media sosial mengharapkan pujian dari friendlist.

Seorang pendakwah terkenal pula berkata beliau risau trend orang pergi umrah sekarang, sekadar nak buat ‘content’.

Ceritanya dulu, ramai bila pergi sana ingin bertaubat dan berubah ke arah lebih baik. Tapi sekarang ini pergi sana macam tiada apa dah. Orang kita yang pergi sana balik macam itu jugalah. Orang kata pi mai pi mai tang tu jugalah.

Pergi Mekah dan Madinah dah sekadar pergi melancong bukan nak ibadah sangat pun. Ada duit pergi, sekadar nak ‘happy-happy’, showoff sana-sini dan cari populariti.

Cari duniawi, hilang rasa keagungan Allah dalam hati. Ke’izzahan dua tanah suci itu sudah tidak rasa apa dah. Itu luahan pendakwah tersebut yang saya setuju 100 peratus.

Saya tersedar sifat-sifat riak dalam beramal ini ketika dahulu asyik mengikuti jamaah tabligh ke sana ke sini. Sehingga suatu hari seorang maulana dari Filipina selepas bayan Subuh berbisik kepada saya:

“Maaf, sekadar menegur anta. Anta bergambar ini tentulah untuk disiarkan di media sosial. Tidak salah, cuma yang dibimbangi perasaan riak akan muncul mengharap pujian.

“Riak bukan sahaja haram tetapi segala amalan Tuan keluar ke jalan Allah ini sia-sia belaka. Cuba anta pejam mata benarkah ikhlas atau ada perasaan riak mahu dipuji. Jika ikhlas tidak mengapa,” ujarnya.

Selepas teguran itu saya tidak lagi menyiarkan gambar-gambar saya beraktiviti dengan jamaah tabligh ketika itu.

Sejujurnya wujud perasaan riak di situ. Apatah lagi untuk beramal dan saya tidak mahu menipu diri sendiri.

Kata salah seorang guru saya, Rasulullah melakukan amalan solat sunat baginda di rumah bukan di masjid dan surau.

Tujuan itu untuk kita amalkan perkara yang serupa kerana jika kita buat di masjid bimbang ada perasaan riak apabila jamaah lain melihat amalan kita. Wallahuallam.

Abu Umamah sahabat Rasulullah yang alim ketika melihat orang yang menangis ketika sujud di dalam masjid beliau berkata,” Hei kamu, alangkah baiknya (jika menangis) di rumah.”

Mantan Mufti Johor, Nooh Gadut berkata, “Riak dan takabbur ini menghapuskan pahala ibadah. Kita tanya diri sendiri hendak sembahyang ke hendak berselfie? Ibadah sama seperti bersedekah, konsepnya jika tangan kanan memberi, tangan kiri tidak sepatutnya tahu.

“Malu apabila dunia lihat sikap orang Islam berselfie dan menunjuk di laman sosial. Tidak ada gunanya kalau pergi beribadat di masjid dan pulang tanpa dapat pahala,” jelasnya.