Anwar setuju mansuh pencen juga terpakai kepada wakil rakyat

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau secara prinsip bersetuju apa jua keputusan berkaitan sistem pencen bagi penjawat awam, turut terpakai kepada ahli politik.

Respon positif itu hadir susulan luahan terbanyak rakyat yang mahukan sistem pencen kepada wakil rakyat dan ahli politik dimansuhkan terlebih dahulu.

“Kalau kita mula pada 1 Feb 2024, semua kemasukan baharu itu tidak berpencen, maka itu juga sama untuk semua pelantikan baharu (termasuk) ahli politik.

“Jadi ada orang kata mengapa tidak (termaktub sama ahli politik). Soal lain ada yang pernah jadi menteri besar, jadi menteri dan kemudian jadi timbalan perdana menteri, itu menunjukkan Perlembagaan kita boleh kaji tetapi tak boleh dibawa ke belakang secara retrospektif.

“Untuk yang baharu kita boleh kaji. Saya ingat kita tidak ada masalah kita nak tukar penyesuaian ini,” katanya kepada pemberita ketika makan tengah hari bersama rakyat di Desa Sri Hartamas.

Beliau berkata, mana-mana negara, termasuk Malaysia tidak boleh bertahan dengan kedudukan ekonomi semasa dan memerlukan perubahan terhadap sistem pentadbirannya.

Tetapi, katanya, apa juga perubahan ingin dilakukan kerajaan perlu didahului cadangan serta perbincangan, termasuk pemansuhan pencen sebelum ia dimuktamadkan.

“Pada prinsipnya, saya bersetuju supaya apa saja keputusan yang dibuat untuk perkhidmatan awam terpakai bagi pelantikan politik, tetapi dimuktamadkan selepas kajian dan dibawa ke Jemaah Menteri untuk diputuskan,” katanya lagi.

Sebelum ini wujud gesaan dari rakyat untuk kerajaan memansuhkan pencen ahli politik terlebih dahulu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata, Kabinet bersetuju perjawatan bagi penjawat awam baharu kerajaan berstatus tetap selepas ini tidak berpencen.

BACA JUGA Kewangan jadi masalah besar, 10 lagi MP Bersatu sokong Anwar